Undang-Undang Wanita bersama ADILLAH NORDIN – LLB (Hons) Nottingham University, Barrister-At-Law (Middle Temple (London)

SOALAN :

Saya dan teman lelaki saya, M, telah lama berkenalan semenjak di bangku sekolah lagi. Saya amat menyintai M dan beliau juga amat menyintai saya. Selama lebih lima tahun ini kami amat rapat dan ingin mendirikan rumah tangga.

Malangnya kedua-dua ibu bapa saya tidak bersetuju dengan perhubungan kami kerana keluarga kami tidak setaraf. Ayah saya adalah seorang yang berpangkat ‘Datuk’ dan merupakan ahli perniagaan yang berjaya. Ayah M telah lama meninggal dunia dan ibunya hanyalah merupakan seorang kerani di sebuah sekolah. M tahu masalah ini dan beliau berusaha untuk mengubah persepsi ibu bapa saya dengan belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan ijazah dari salah sebuah IPTA terkemuka di Malaysia. M juga telah mula bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat tempatan.

Malangnya ini masih tidak mencukupi untuk mak dan ayah. Mereka ingin menjodohkan saya dengan seorang lelaki pilihan mereka sendiri iaitu anak rakan perniagaan mereka. Saya amat tertekan dan sangat sedih. Saya dan M telah pun berbincang dan nekad untuk kahwin lari di negara jiran. Tetapi saya was-was akan kesahihan sijil nikah kami nanti. Saya takut kalau ianya bermasalah di kemudian hari nanti. Apakah yang perlu kami lakukan? Saya sangat buntu. Tolong minta puan beri nasihat.

Sekian terima kasih. – Adibah –

JAWAPAN :

Masalah yang Adibah hadapi sememangnya berat tetapi boleh diatasi tanpa perlu kahwin lari di negara jiran. Hadapilah masalah ini dengan tabah dan yakinlah bahawa hak Adibah untuk memilih pasangan hidup adalah dilindungi oleh undang-undang di Malaysia.

Perkahwinan adalah merupakan suatu amanah Allah s.w.t yang memerlukan lima rukun untuk menyempurnakannya iaitu hendaklah ada: (i) calon suami; (ii) calon isteri; (iii) wali; (iv) dua orang saksi; dan (v) sighah ijab kabul. Tidak sah sesuatu perkahwinan itu jika kekurangan salah satu daripada lima rukun tersebut. Banyak perkahwinan sindiket yang berlaku di negara jiran di mana ianya dijalankan tanpa wali yang sah dan sebenarnya kebanyakan daripada perkahwinan ini adalah tidak sah atau boleh menimbulkan keraguan.

Di dalam hal ini di mana wali atau ayah Adibah tidak bersetuju untuk menjalankan tanggungjawabnya dan menyekat perkahwinan Adibah dan M, terdapat peruntukan undang-undang yang boleh menyelesaikan masalah pelantikan wali. Seksyen 13 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 jelas memperuntukkan seperti berikut:-

“Suatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini melainkan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu telah bersetuju terhadapnya, dan sama ada – Wali pihak perempuan telah bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syarak; atau

Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh Wali Raja mengikut hukum syarak; persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut hukum syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi.”

Undang-undang memperuntukkan bahawa sekiranya wali enggan menjalankan tanggungjawabnya walaupun beliau masih hidup dan berupaya, kuasa perwalian akan berpindah kepada pemerintah atau diistilahkan sebagai wali raja. Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk membenarkan seorang wanita berkahwin tanpa kebenaran walinya jika mahkamah berpuas hati bahawa wali tersebut enggan memberi kebenaran atau persetujuan dengan tiada sebab yang munasabah.

Saya nasihatkan Adibah pergi ke Mahkamah Syariah yang berdekatan dan berterus terang kepada pegawai agama di sana berkenaan masaalah yang dihadapi. Satu permohonan ‘wali ingkar’ boleh dibuat di bawah peruntukan Enakmen Keluarga Islam di setiap negeri. Walau bagaimanapun, lazimnya kebanyakan kes ‘wali ingkar’ tidak dibicarakan kerana apabila pegawai agama di Mahkamah Syariah dimaklumkan berkenaan dengan hasrat seorang anak perempuan ingin membuat permohonan tersebut, mahkamah akan memanggil bapa atau wali tersebut untuk menyiasat sebab-sebab keengganan beliau untuk mewalikan perkahwinan anaknya. Bapa atau wali tersebut akan dinasihatkan secara baik untuk mewalikan anaknya.

Jika bapa tersebut masih enggan untuk mewalikan anaknya, barulah permohonan ‘wali ingkar’ itu akan dilanjutkan di Mahkamah Syariah untuk perbicaraan dan sekiranya mahkamah berpuas hati, hakim syarie boleh membuat perintah untuk memberikan persetujuannya untuk Adibah diakadnikahkan oleh wali raja yang telah ditauliahkan.

Saya doakan Adibah dapat menyelesaikan masaalah ini secara baik dengan mak dan asyah tanpa perlu berkahwin lari di tempat lain.