Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERTAS cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri dan mekanisme berkaitan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk persetujuan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, cadangan berkenaan telah pun diluluskan dalam mesyuarat MPN, hari ini.

Menurut Muhyiddin, Majlis Pemulihan Negeri yang akan dipengerusikan Menteri Besar dan Ketua Menteri semua negeri itu berperanan untuk memastikan keputusan MPN dilaksanakan di peringkat negeri.

Pada masa sama, kata beliau, ia juga bagi memperakukan strategi dan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah serta memantau impak pelaksanaan inisiatif pemulihan pada peringkat akar umbi.

Muhyiddin memaklumkan, jawatankuasa tindakan pembangunan daerah sedia ada akan bertindak sebagai mekanisme pelaksanaan dan juga pemantauan inisiatif pemulihan negara di peringkat daerah.

“Kita buat keputusan dan mencadangkan perkara ini kerana kita yakin serta percaya isu pemulihan negara ini mesti dilaksanakan secara pendekatan whole of government dan whole of society.

“Kita tak boleh menguruskan hanya di peringkat nasional tanpa mengambil kira kuasa dan peranan yang boleh disumbangkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di daerah.

Baca artikel berkaitan: Rentas negeri selewat-lewatnya pertengahan Oktober

“Atas dasar itulah, kita susun begini supaya maklum balas di peringkat negeri dan daerah itu dapat sampai ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN hari ini.

Sabtu lalu, Muhyiddin mencadangkan penubuhan majlis pemulihan di peringkat negeri dan daerah bagi memudahkan segala bentuk usaha pemulihan dapat diterima di peringkat akar umbi dengan lebih berkesan dan pantas.

Kata beliau, pimpinan majlis tersebut akan membentuk jawatankuasa tindakan di peringkat bawahan agar kesan pemulihan dapat dirasai rakyat.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, mesyuarat MPN kali ini juga telah mendengar perkembangan terbaharu situasi berkaitan COVID-19 dibentangkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Selain itu, kata beliau, mesyuarat juga membincangkan tentang pelan pembukaan dan pengoperasian institusi pendidikan tinggi sesi akademik 2021/2022 serta laporan penilaian pembukaan sekolah oleh Kementerian Pendidikan.

“Secara keseluruhan, kita berpuas hati dengan pembentangan Khairy mengenai perkembangan terkini kes COVID-19 dan kadar penggunaan katil wad unit rawatan rapi (ICU) yang telah menunjukkan penurunan.

“Kita juga ambil maklum tentang ketersediaan vaksin yang mencukupi untuk tujuan suntikan dos penggalak bagi semua penduduk dewasa di negara ini hasil keputusan yang telah dibuat sebelum ini untuk menempah sejumlah vaksin yang lebih daripada mencukupi bagi keperluan penduduk negara kita,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram