PENEKANAN terhadap pembangunan luar bandar oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Rancangan Makaysia Ke-12 (RMK-12), amat bersesuaian dengan falsafah Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tumpuan terhadap kawasan luar bandar itu juga disifatkan tepat pada masanya untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai soal luar bandar, saya ingin menyatakan bahawa Perdana Menteri membuat pembentangan yang sangat komprehensif untuk RMKe-12.

“Dalam pembentangannya, beliau memberi keutamaan berkaitan pembangunan luar bandar seperti pendigitalan, peluang pekerjaan dan perubahan iklim,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mahdzir berkata, antara yang ditekankan Perdana Menteri ialah mengenai merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar dengan menaik taraf Pusat Internet Desa serta Pusat Komuniti Desa sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia.

Menerusinya, ia membolehkan pelbagai latihan kemahiran dapat dilaksanakan selain memperkenalkan perkhidmatan e-dagang di kawasan luar bandar.

BERITA BERKAITAN RMK-12 utamakan negeri kurang membangun – Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak

“Saya amat mengalu-alukan program ini kerana kita tahu tidak semua tempat mempunyai capaian internet berkelajuan 100 megabait sesaat (Mbps).

“Kebanyakan kawasan di kampung berada pada paras 20 hingga 30 Mbps sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk memastikan semua peruntukan sampai kepada kumpulan sasar, perkara itu katanya antara yang akan diberi keutamaan.

“Kita perlu ada ‘taskforce’ yang mencukupi untuk bergerak. Kita ambil projek bekalan air luar bandar sebagai contoh, jika melalui proses normal, mungkin akan lambat (pelaksanaan projek).

“Sebab itu kerajaan Pusat perlu juga berunding dengan kerajaan negeri kerana ada projek tertentu yang diluluskan di peringkat kerajaan negeri. Ini bermakna kerajaan negeri pun kena bantu untuk memastikan projek terbabit berjalan,” katanya. – UtusanTV