MIOR FARIDALATHRASH WAHID (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas polis Perak. GAMBAR: Facebook Polis Perak

SINDIKET menyeludup dadah jenis syabu ke Indonesia tumpas selepas polis berjaya menahan seorang lelaki di tepi jalan kawasan Bagan Lipas Laut, Rungkup, Perak semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 56 tahun warganegara Indonesia itu ditahan bersama dua begi guni disyaki berisi dadah jenis syabu.

Kata beliau, penahanan dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah Hilir Perak pada pukul 12.55 pagi itu turut mendapati syabu dengan anggaran berat 29 kilogram itu bernilai RM1.74 juta.

Beliau berkata, suspek dipercayai dalam proses membawa dadah ke jeti semasa ditahan, sebelum diseludup ke Indonesia melalui jalan laut.

“Modus operandi suspek adalah menggunakan jeti haram untuk menyeludup dadah ke tengah laut menggunakan bot atau sampan dan ada individu lain yang menunggu untuk mengambil dadah berkenaan.

“Suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu dan mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan yang sedang dikesan,” kata beliau dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Pemandu lori terbalik positif dadah

Mior Faridalathrash berkata, ujian saringan air kencing telah dijalankan dan mendapati suspek negatif dadah serta tidak mempunyai rekod semakan lampau.

Jelas beliau, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati.

“Dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 300,000 orang penagih,” jelas beliau.

Sementara itu, Mior Faridalathrash turut memaklumkan, polis berjaya menumpaskan satu lagi sindiket dadah dalam serbuan berasingan dijalankan pada pukul 3.35 petang kelmarin oleh BSJN daerah Hilir Perak.

Dalam tangkapan pertama di sebuah rumah di kawasan Changkat Jong, Teluk Intan, Mior Faridalathrash berkata, polis menahan sepasang suami isteri berusia 37 dan 28 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah pasangan terbabit menjumpai dadah jenis heroin seberat 4,189.36 gram dan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 409.85 gram dengan nilai keseluruhan RM150,000.

Susulan tangkapan itu, Mior Faridalathrash berkata, polis kemudian membuat tiga lagi serbuan di sekitar Teluk Intan dan menahan lima lagi lelaki berusia lingkungan 18 hingga 32 tahun.

“Tangkapan terhadap lima suspek itu membawa kepada rampasan 5.61 gram syabu dan 1.57 gram ganja dengan nilai rampasan RM640.

“Ujian saringan air kencing ke atas kesemua tujuh suspek itu mendapati hanya suspek wanita negatif dadah,” jelas beliau.

Pasangan suami isteri itu direman selama enam hari mulai semalam manakala lima suspek lain direman empat hari.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39(A) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram