AZRI Iskandar dan isterinya, Ellie Suriaty

SESETENGAH orang memang sanggup menghadapi apa sahaja termasuk hilang pendapatan demi mempertahankan prinsip hidup mereka. Ramai juga ‘pejuang’ antivaksin yang sanggup berbuat demikian walaupun mereka sedar kesan daripada tindakan itu.

Perkara yang sama berlaku kepada pelakon Ellie Suriaty Omar apabila dia sanggup menghadapi apa sahaja cabaran asalkan dirinya dan keluarga tidak divaksin. Alasannya mungkin dia sahaja yang tahu.

Tetapi perkara itu tidak berlaku kepada suaminya, Azri Iskandar yang juga seorang pelakon kerana baginya kebolehan untuk mencari rezeki dengan berlakon adalah lebih utama daripada menjadi ‘pejuang’ antivaksin yang akhirnya menyusahkan diri sendiri.

Baru-baru ini kecoh dunia Netizen apabila Azri mengaku sebenarnya dia telah diam-diam mengambil vaksin untuk melayakkannya kembali semula berlakon atas alasan untuk mencari rezeki bagi keluarga.

Mengetahui isterinya tidak akan menyukai tindakannya itu, Azri memberitahu dia terpaksa berbohong kepada Ellie ketika hendak keluar rumah dan pergi mendapat suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Apabila ditanya alasan untuk keluar mendapatkan suntikan itu, kata Azri, dia memberitahu Ellie yang dia mahu ke bengkel.

“Ellie sangat terkejut apabila mengetahui saya dah lengkap dua dos vaksin Covid-19. Selama ni saya sering jawab ‘tak’ saja apabila ditanya mengenai vaksin walaupun sebenarnya saya dah cucuk (ambil vaksin).

“Dia tahu hanya selepas saya memaklumkan kepadanya yang saya akan jalani penggambaran.

“Semasa nak pergi pusat vaksin tu pun saya cuma bagitahu Ellie yang saya nak pergi ke bengkel hantar anak,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Pemilik nama penuh Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar itu mengakui, dia sebenarnya tidak pasti bagaimana hendak menjelaskan situasi sebenar kepada isterinya itu yang memang lantang bersuara mengenai suntikan vaksin Covid-19.

Kata Azri, jika tidak mendapatkan suntikan vaksin, dia akan hilang punca untuk mencari nafkah buat keluarganya kerana kerajaan menggariskan syarat itu kepada penggiat industri kreatif sebelum boleh mereka menjalani sebarang penggambaran.

“Sebelum ni dia (Ellie) asyik bising pasal antivaksin. Saya pula terpaksa ambil vaksin. Jika tak ambil, tak boleh bekerja.

“Saya pun takut nak ambil vaksin tu sebenarnya. Tapi dah terpaksa, kenalah ambil juga,” katanya.

Selepas mendapatkan suntikan tersebut, kata Azri, dia bersyukur kerana ditawarkan bekerja dengan Skop Productions Sdn Bhd untuk drama lapan episod berjudul Kuasa terbitan Astro.

Ellie sebelum ini mengakui dia menemani dua orang anaknya, iaitu Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 12, membuat laporan polis pada 30 Ogos lalu atas alasan mahu mempertahankan hak mereka menolak suntikan vaksin Covid-19 yang mahu dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar.

Ditanya reaksi Ellie mengenai tindakan suaminya, dia berkata dia menerima kenyataan tersebut kerana suaminya perlu bekerja dan syarat bekerja memerlukan seseorang itu lengkap divaksin.

“Dia pun tak happy (gembira) dengan perkara itu (divaksin). Tetapi dia perlu mencari nafkah sebab dia ketua keluarga,” kata Ellie memetik laporan Mstar. – UtusanTV