Muhammad Yamin dibunuh anak sendiri dalam kejadian di Desa Kedondong daerah Pesawaran, wilayah Lampung Indonesia baru-baru ini.

SEORANG lelaki dari Desa Kedondong daerah Pesawaran, wilayah Lampung Indonesia tergamak membunuh bapa kandungnya sendiri dengan cara memukul mangsa sebelum menjerut lehernya sehingga mati, Ahad lalu.

Tambah kejam, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan itu, suspek dikenali sebagai Ubay, 35, kemudian menggantung mayat bapanya, Muhammad Yamin, 76, pada bumbung bahagian dapur rumahnya dalam usaha menutup jenayah itu.

Memetik laporan Tribun News, Ketua Polis Kedondong, Amin Rusbahadi berkata, suspek membunuh bapanya dengan memukul mangsa pada bahagian kepala terebih dahulu dengan mesin pengisar air diperbuat dari kayu.

Menurutnya, selepas mangsa jatuh, suspek mengambil seutas tali rafia hitam lalu menjerut leher bapanya sehingga mangsa meninggal dunia.

Katanya lagi, tidak cukup dengan itu, Ubay kemudian menggantung bapanya pada bumbung di bahagian dapur rumahnya menggunakan tali rafia.

“Tindakan itu dilakukan suspek bagi mengaburi perbuatannya agar kematian mangsa dianggap sebagai bunuh diri,” katanya hari ini.

Amin memberitahu, mayat Muhammad Yamin kemudian dibawa ke Hospital Bhayangkara untuk bedah siasat dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Ujarnya, pasukan polis yang terbabit dalam bedah siasat itu kemudian menemukan keraguan pada mayat mangsa dan percaya Muhammad Yamin dibunuh.

Tambahnya, polis percaya individu yang membunuh mangsa tidak lain dan tidak bukan adalah anak kandungnya sendiri sebelum bertindak menahannya.