LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan dakwaan kebocoran jutaan data peribadi rakyat Malaysia untuk sistem myIDENTITY seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diperoleh daripada laman webnya.

Menurut LHDN, siasatan dalaman telah dijalankan berhubung perkara itu dan didapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti didakwa.

“LHDN memberi jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDN adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf,” kata LHDN dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut LHDN, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak JPN, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meneliti semua kemungkinan berkenaan dakwaan tersebut.

Media hari ini melaporkan pangkalan data yang dikatakan milik JPN didakwa telah dijual di forum pasaran pangkalan data terkenal. Penjualnya mendakwa ia mengandungi empat juta data peribadi rakyat Malaysia yang diperoleh daripada portal rasmi LHDN menggunakan Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY.

Pangkalan data JPN itu disertakan dengan tanda harga 0.2 BTC bersamaan dengan harga sekitar RM35,495, menurut laporan media tersebut.

Sistem myIDENTITY kendalian JPN membolehkan warganegara dan pemastautin tetap mencapai maklumat peribadi dan mengemas kini maklumat perhubungan semasa berurusan secara dalam talian dengan agensi kerajaan.

Jelas LHDN dalam kenyataan itu, pihaknya kesal dengan laporan dan dakwaan berkenaan kerana ia boleh menghakis keyakinan orang ramai khususnya pembayar cukai terhadap keselamatan data dan maklumat mereka.

Sambil menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan perkara yang tular seumpama itu, LHDN tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mengelirukan masyarakat.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram