Pandemik COVID-19 menambahkan lagi cabaran buat siswazah bumiputera untuk bersaing dalam pasaran kerja melibatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan mereka./ Gambar hiasan media sosial.

Oleh: DR HASAN MAD

APABILA hasil kajian oleh TERAJU dikongsikan dengan awam, ramai yang angkat kening tertanya-tanya kenapa pengangguran dalam kalangan siswazah bumiputera terlalu tinggi, mencecah 70 peratus.

Jari jemari mula bergerak, kepada siapa yang akan dituding untuk dipertanggungjawabkan mengapa begitu jadinya statistik itu.

Akan ada jari menuding kepada kegagalan kerajaan menggubal Akta Kesaksamaan Peluang, bagi mewajibkan pengambilan pekerja atau peluang menceburi bisnes secara saksama, kepada bumiputera.

Datuk Dr Hasan Mad

Pastinya ada jari dituding kepada blok kapitalis yang masih mencengkam erat sektor ekonomi negara. Terus meranalah bumiputera, kecuali mereka yang sudi menjadi sebahagian daripada blok itu.

Tidak kurang juga bilangan jejari yang akan mempersalahkan graduan bumiputera itu sendiri yang masih menunggu bulan ke jatuh ke riba atau tongkat menunggu di tangga.

Bagi kami di MPM, tafsiran kadar pengangguran itu adalah kerana pelbagai pihak dalam kalangan pemegang taruh bumiputera itu sendiri masih belum membina dan menerima naratif baharu ilmu dan bakat sebagai satu kesepaduan, dalam melahirkan siswazah mendepani alaf baharu ini.

Ia tidak lagi sama dengan zaman kami dahulu. Kami dimasukkan ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menimba ilmu sebagai “passport” untuk diambil bekerja sebaik saja tamat pengajian.

Dengan naratif baharu ini, peranan IPT juga jauh berbeza berbanding zaman kami dulu. IPT bukan lagi “kilang”, mengeluarkan siswazah dengan label piawai seumpama sijil SIRIM. IPT kini ialah “arena”, mengasuh siswazah untuk benar-benar berilmu dan berbakat.

Kurikulum untuk pembinaan ilmu cukup kemas sebab ia telah dibina ratusan tahun dan secara universal. Tapi kurikulum bagi pembinaan bakat belum ada. Inilah punca kepada pemasalahan yang kita semua hadapi bila siswazah menganggur, sebab mereka tak mampu untuk membina kerjaya atau kehidupan sendiri. Sebab, bakatnya tidak pernah diasah dan diasuh untuk berkebolehan sedemikian.

Dalam membina kecemerlangan akademik dan ilmu, pembinaan kurikulumnya secara terancang dan teratur bermula sejak di fasa prasekolah lagi, bukan apabila mereka telah berada di IPT.

Maknanya, jika bakat seseorang pelajar itu hendak diasuh dan diasah, budaya atau usaha pembinaan bakat wajiblah juga dimulakan awal, terancang dan berimpak tinggi, bukan bila dah nak bergraduan baru disedarkan yang mereka perlu membina bakat untuk berdaya saing, atau paling tidak untuk survival.

Hatta, jika kita sirius menangani masalah pengangguran, salah satu remedi penyelesaiannya ialah menerusi pembinaan bakat. Mulakanlah dari sekarang membina kurikulum pembangunan bakat insan-insan kerdil anak cucu kita ini.

Insya-Allah, 20 tahun dari sekarang, sebaik saja tamat pengajian di IPT, mereka sudah lengkap dibekalkan ilmu dan bakat untuk memilih menjadi insan rabbani sebagaimana yang mereka mahukan.

Apa pun, salah satu quickwin yang perlu dilaksana segera ialah bagaimana IPT menyediakan “payung terjun” untuk para siswazahnya.

Baca artikel berkaitan: Hanya 27 peratus graduan Bumiputera peroleh pekerjaan pada 2020

Bantuan hanya sementara, peluang kerja penyelesaian terbaik – Shahril

160,000 peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan walaupun ketika penguatkuasaan PKP

Isu pertama, kebanyakan IPT, terutama IPTA, tubuhkan Pusat Pembangunan Keusahawanan, bukan Pusat Pembangunan Bakat. Ia seolah-olahnya menggambarkan majoriti graduan akan memilih menjadi usahawan bila tamat pengajian kelak.

Cabaran kedua ialah pusat ini ditadbir urus dan tenaga pembimbing dalam kalangan akademia. Barangkali mereka terlepas pandang. Pusat ini adalah gerbang (gateway) untuk IPT membuka pintunya membawa masuk pihak luar ke IPT untuk sama-sama membina bakat dalam kalangan siswazah.

Sepatutnya pusat ini melantik mereka dalam kalangan pemain industri misalnya, tokoh usahawan berjaya, tokoh diaspora berjaya dan ramai lagi, sebagai profesor atau pensyarah adjung.

Malah, wakil lain-lain bidang kerjaya juga wajar dipertimbangkan, bukan hanya berkaitan ekonomi dan keusahawanan semata-mata. Bukalah seluas-luasnya gerbang ini untuk para siswazah didedahkan dengan the real world.

Sekadar perkongsian, MPM telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan UiTM untuk kami sama-sama membina ‘gerbang bakat” di UiTM, menerusi satu program dinamakan “Pembangunan Bandar Teknologi dan Bisnes @ Kampus”.

Sesiapa berminat mengetahui lebih lanjut mengenainya sila hubungi kami di MPM, sama ada saya atau Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin. Atau hubungi Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah, Prof. Dr. Samad Alwi atau Dr. Siti Hafsah Zulkarnain di UiTM.

Bersama kita bina naratif baharu: ilmu dan bakat, agar anak cucu kita kelak tidak terjerat dalam jala pengangguran. Ingatlah, sumber asli negara sudah kering kontang, sama ada dieksploitasi sejak di zaman penjajah, atau dituai rakus oleh mereka yang haloba.

Yang kita ada hanyalah insan-insan rabbani yang boleh diasuh untuk memiliki ilmu dan bakat bagi menjadikan mereka benar-benar ummah rabbani yang berbakat terbilang. Merekalah “sumber khazanah negara” yang amat berharga kepada negara berdaulat ini.

Datuk Dr Hasan Mad merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram