DR WEE KA SIONG./ Gambar media sosial Bernama

SEBANYAK 807 nahas jalan raya disebabkan pemanduan lawan arus direkodkan sepanjang tahun ini dengan 29 daripadanya melibatkan kemalangan maut.

Sambil mengakui statistik tersebut amat membimbangkan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, antara faktor yang menyumbang ialah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Selain 29 kemalangan maut, statistik pemaduan lawan arus yang diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunjukkan sebanyak 17 lagi nahas melibatkan kecederaan parah, 49 (cedera ringan) dan 712 (rosak),” katanya.

Ka Siong berkata demikian pada sesi pertanyaan menteri pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung kes kemalangan melibatkan pemanduan lawan arus.

Sementara itu, Ka Siong berkata, kajian mendapati bahawa faktor manusia adalah penyumbang utama berlakunya sesuatu nahas jalan raya.

Kata beliau, ini terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus seperti menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah serta tidak mematuhi peraturan jalan raya.

“Faktor manusia pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu,” jelasnya.

Beliau berkata, dalam sesuatu nahas jalan raya 80 peratus disebabkan faktor manusia, 13 peratus disebabkan kenderaan dan tujuh peratus disebabkan persekitaran manakala pemanduan di bawah pengaruh alkohol berisiko 13 kali lebih tinggi terdedah kepada nahas berbanding memandu dalam keadaan biasa.

Katanya bagi pemandu yang dihadapkan ke mahkamah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak ada pesalah yang hanya dikenakan denda dan mereka wajib dikenakan penjara bagi tujuan pencegahan.

Baca artikel berkaitan: Lawan arus, pemandu 4×4 didakwa bawah Seksyen 302 KK

Dua maut dilanggar pemandu positif dadah lawan arus

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan menarik balik lesen memandu mereka yang berusia lebih 70 tahun, Ka Siong berkata, perkara itu tidak pernah menjadi hasrat Kementerian Pengangkutan sama sekali.

Sambil memberi contoh Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi), kata beliau, umur bukan penentu kepada kecekapan pemanduan kerana bekas Perdana Menteri itu masih berupaya memandu dengan jauh lebih baik berbanding sesetengah individu yang gagal mengawal diri di atas jalan raya.

Beliau berkata kompetensi memandu adalah bukan berdasarkan faktor umur dan banyak sebab yang menentukan kemalangan jalan raya.

“Kompetensi (memandu) adalah berlainan. Macam YB Langkawi (Dr Mahathir) beliau dapat memandu dengan baik. Jauh lebih baik daripada orang lebih muda. Tidak boleh ada diskriminasi,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram