Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. /Gambar media sosial Bernama Radio

KOMPLEKS Seri Perdana yang menjadi kediaman rasmi kerajaan untuk Perdana Menteri telah mencecah usia 22 tahun dan telah mengalami banyak kerosakan.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, justeru, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat skop kerja-kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM38.5 juta.

Katanya, ini termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.

“Projek ini telah diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac 2021. Ia dijangka siap pada 7 Disember 2021.

“Setakat hari ini, kerja-kerja baik pulih telah mencapai 74 peratus kemajuan, berbanding 71 peratus seperti dalam jadual,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan ini dikeluarkan merujuk kepada pertanyaan jawab lisan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas, soalan bernombor 49 oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengenai status projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana.

“Untuk makluman, pertanyaan lisan Ahli Parlimen Pokok Sena pada 27 September 2021 di Dewan Rakyat, telah dijawab secara bertulis oleh saya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan bukan oleh YAB Perdana Menteri,” jelasnya.

Kompeks Seri Perdana telah dibina pada tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 1999.

Bernama semalam melaporkan pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dilaksanakan setelah mengambil kira faktor keselamatan selain memastikan imej Malaysia dalam menyambut tetamu utama negara di program rasmi Perdana Menteri.

Menurut jawapan kerajaan kepada soalan Mahfuz itu, pengubahsuaian itu meliputi skop utama seperti penambahbaikan pendawaian elektrikal, mekanikal serta sistem pendingin hawa dan pengubahsuaian struktur di Blok Kediaman Rasmi.

Proses pengubahsuaian itu turut melibatkan penggantian perabot rasmi yang telah uzur dan daif, sesuai dengan status kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia.

“Status pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri (Kompleks Seri Perdana) pada masa ini dilaksanakan sebagaimana dijadualkan.

“Sehingga 31 Ogos, prestasi semasa kerja-kerja pengubahsuaian telah mencapai 60 peratus kemajuan,” kata kerajaan bagi menjawab pertanyaan Mahfuz yang ingin tahu mengenai status, komponen dan skop yang terlibat dalam projek pengubahsuaian yang dikatakan menelan kos RM30 juta.