GAMBAR HIASAN

BERITA baik bagi peminat sukan tanah air apabila penonton dan penyokong dibenarkan hadir ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di semua negeri Fasa 2, 3 dan 4.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan salah satu daripada tiga kelonggaran baharu yang telah dicapai mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, semalam.

Menurut Perdana Menteri, kebenaran kehadiran penonton dan penyokong itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi.

Namun begitu, kata beliau, kebenaran itu merangkumi beberapa syarat termasuk penonton telah menerima vaksinasi lengkap dan memakai pelitup muka sepanjang perlawanan.

“Pada masa sama, tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium manakala kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.

“Maklumat lanjut mengenai SOP bagi kelonggaran baharu ini boleh dilayari di laman sesawang rasmi kementerian-kementerian yang terlibat dan www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain kebenaran ke tempat perlawanan sukan itu, Ismail Sabri turut mengumumkan dua lagi kelonggaran baharu yang ditetapkan dalam mesyuarat berkenaan.

Baca artikel berkaitan: Lembah Klang, Melaka ke Fasa 3, Kedah pula beralih Fasa 2

Katanya, ia termasuk membenarkan majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel di negeri Fasa 2 dan 3 dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50 peratus ruang premis manakala 100 kapasiti penuh bagi Fasa 4.

Perdana Menteri berkata, individu yang belum divaksin pula perlu menjalani ujian pra-majlis menggunakan kit ujian kendiri sebelum hadir dengan disaksikan penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan.

“Mesyuarat juga bersetuju membuka sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya di semua fasa dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi berkuatkuasa 15 Oktober 2021.

“Selain itu, kerajaan juga memandang serius isu segelintir individu yang keluar daripada kediaman biar pun sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dengan individu yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat serta menjejaskan usaha kerajaan bagi menangani wabak ini,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram