SUSULAN kenyataan yang pernah dikeluarkan berkenaan vaksin Covid-19, abang Allahyarham Siti Sarah Raissuddin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada petugas barisan hadapan (frontliners).

Ahmad Firdous yang juga bekas pesakit Covid-19 dan bertarung nyawa selama sebulan untuk melawan virus tersebut turut meminta orang ramai mengambil serius tentang wabak berjangkit itu.

“Kenyataan saya yang mengatakan doktor pembunuh, saya mohon maaf. Saya berterima kasih kepada petugas barisan hadapan kerana bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa saya.

“Mereka yang menjaga saya di Unit Rawatan Rapi (ICU), bayangkanlah bagaimana mereka bekerja.

“Yang kita ini pula kata nurse nak bunuh kita. Ada nurse tunggu depan kita, apa-apa jadi kau kencing, berak, dialah yang akan bersihkan dan pakaikan lampin pakai buang.

“Bila dah kena baru tahu dan sedar betapa teruknya kita ini sebarkan benda yang tak benar. Padahal dia yang tolong kita,” katanya.

Ogos lalu, Ahmad Firdous dimasukkan ke Hospital Serdang Selangor dan ditidurkan selepas paras oksigen menurun akibat positif Covid-19.

Kesan jangkitan itu,Ahmad Firdous memberitahu paru-parunya rosak teruk namun kini dia beransur pulih.

Sementara itu, dia yang sebelum ini merupakan antivaksin bercadang untuk mengambil suntikan vaksin setelah kondisi kesihatannya berada pada tahap yang baik.

“Kalau orang kata saya antivaksin, ya saya memang antivaksin sebelum ini. Tak apalah itu pengalaman hidup dan pengajaran buat saya.

“Bila diri sendiri terkena jangkitan Covid-19, saya tahu betapa peritnya melawan virus tersebut.

“Insya-Allah saya akan ambil suntikan vaksin apabila sudah sihat sepenuhnya. Mana yang tidak mahu ambil vaksin, terpulang pada anda.

“Cuma saya nak ingatkan, apabila dah terkena Covid-19 walaupun tahap 1 atau 2, anda boleh menjangkiti orang lain yang kita tidak tahu tahap antibodi mereka,” katanya.