SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya menyiasat penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 berhubung 25 isu bersifat punitif kerana kelemahan atau kesilapan disifatkan tidak akan terjadi tanpa elemen rasuah seperti penyelewengan dan salah guna kuasa.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kepekaan rakyat terhadap LKAN menggambarkan prinsip akauntabiliti sektor awam yang semakin dituntut rakyat.
Kata beliau, sektor awam bertanggungjawab membelanjakan peruntukan yang diberikan kerajaan melalui cukai-cukai yang dikutip daripada rakyat secara berakauntabiliti dan berhemah.
Jais turut menyambut baik tindakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjalankan prosiding terhadap 25 isu berkenaan kerana ia disifatkan penting memandangkan masalah itu sangat kritikal serta berulang kali berlaku.
“Wang yang dibelanjakan sewajarnya mencapai matlamat asas iaitu memaksimumkan ‘keuntungan’ kepada rakyat.
“Sektor awam adalah ejen pelaksana dasar-dasar yang dibuat untuk rakyat, berbeza dengan sektor swasta yang lebih mementingkan keuntungan untuk kepentingan pemegang saham semata-mata, malah sektor awam lebih mengutamakan kepentingan rakyat.
Baca artikel berkaitan: Penahanan pegawai SPRM bukti tiada siapa yang kebal – MCW
“MCW juga mendesak pelaksanaan sistem yang mempunyai keselamatan teruji dan dipantau oleh agensi penguatkuasaan berkenaan secara berkala termasuk sistem ‘auto alert’ kepada salah laku atau pelanggaran bagi mengatasi masalah manipulasi atau kelemahan sistem ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Jais berkata, rakyat mengharapkan agensi kerajaan dapat meminimumkan ‘kos ejen atau kontraktor’ yang berpunca daripada kelemahan yang terdapat di sektor awam.
Katanya, kos ini akan memudaratkan rakyat seperti dalam kes Sistem uCustoms yang dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang telah dibayar lebih namun masih gagal disiapkan hingga kini.
“Laporan ini telah mengesan satu penyelewengan yang sangat besar dan sewajarnya dibicarkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen di samping kelemahan kawalan dalaman juga perlu dibincangkan walaupun ia mungkin bukan satu penyelewengan.
“Kelemahan ini timbul apabila prosedur ditetapkan tidak dipatuhi sepenuhnya atau pun kerana kelemahan pekerja yang kurang mahir dan tidak menjalankan kerja dengan teliti sehingga banyak berlaku kesilapan,” jelas beliau.
Semalam, PAC memaklumkan akan menjalankan prosiding terhadap 25 isu bersifat punitif yang dilapor dalam LKAN 2019 Siri 2.
Antara isu yang mendapat perhatian PAC adalah Sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta membabitkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang gagal disiapkan sehingga kini sejak dimulakan Oktober 2013.
Prosiding membabitkan isu dilaporkan LKAN 2019 Siri 2 itu dijangka bermula November depan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram