Profail dan butiran lain syarikat berdaftar dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia dikatakan dijual secara dalam talian. Gambar: Facebook

SURUHANJAYA Syarikat Malaysia hari ini (SSM) menafikan dakwaan terdapat kebocoran data melibatkan entiti perniagaan di Malaysia seperti dilaporkan beberapa portal hari ini.

SSM menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman dan memberi jaminan bahawa semua maklumat korporat yang diserah simpan kepada SSM adalah selamat dan dilindungi oleh beberapa lapisan teknologi keselamatan
maklumat yang diiktiraf.

“SSM akan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam pada itu, SSM menasihati orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat entiti perniagaan berkaitan syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad untuk berurusan melalui beberapa saluran yang diiktiraf suruhanjaya itu.

Saluran itu ialah, www.ssm4u.com.my; www.ssm-einfo.my dan www.mydata-ssm.com.my.

“Selain itu, SSM juga menyediakan maklumat berkaitan entiti-entiti perniagaan di Malaysia yang disahkan benar secara digital (Digital CTC) melalui portal-portal di atas yang boleh disemak kesahihan maklumat yang diterima melalui applikasi telefon pintar yang disediakan SSM iaitu SSM DCTC QR Code Reader,” katanya.

Kenyataan itu menambah, untuk sebarang aduan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau e-mel kepada [email protected]

Sebuah portal mendakwa, profail sekitar 1.4 juta syarikat di Malaysia ditawarkan untuk jualan dalam talian di forum penggodam sehari selepas pihak berkuasa menafikan pencerobohan data besar-besaran melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Seorang pengguna berkata, data tersebut dikeluarkan daripada SSM termasuk beberapa profail syarikat yang mengandungi butiran pengarah dan pemegang taruh syarikat.

“Kami menjual data SSM ROC,” kata sebuah hantaran dalam forum tersebut.

“Jika anda sedang cari 8 juta data bagi ROB, jangan segan-segan mesej kami.”

Menurut hantaran tersebut, data itu ditawarkan dengan harga 0.3 bitcoin bagi pemberli perseorangan dan 1 bitcoin “jika anda kroni (disilang) pemilik www.ssm-einfo.my (dan kami tutup/henti jual data ini)”.

0.3 bitcoin adalah bersamaan dengan RM52,400.