JABATAN Pendaftaran negara (JPN) mengesahkan tiada sebarang kebocoran atau perkara tidak diingini berlaku melibatkan data dalam sistem myIDENTITY.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas JPN melakukan siasatan dalaman selepas tersebarnya dakwaan penjualan data rakyat Malaysia itu berlaku.

Menurut Hamzah, JPN turut mengesahkan tiada sebarang kes seperti itu pernah berlaku sebelum ini.

Kata beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga akan memastikan semua agensi kerajaan yang menggunakan data myIDENTITY segera mengambil langkah lebih ketat dan meningkatkan keselamatan bagi mengelakkan kebocoran data.

Hamzah memaklumkan, JPN berkongsi sistem MyIDENTITY dengan beberapa agensi kerajaan bagi tujuan semakan dan pengesahan identiti warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berurusan di agensi masing-masing.

“Kita akan maklumkan kepada agensi-agensi kerajaan yang menggunakan sistem myIDENTITY ini supaya gunakan kaedah sepatutnya untuk melindungi data ini.

Baca artikel berkaitan: Kebocoran data: Bukit Aman sahkan terima laporan JPN

“Jika tidak, kita tak akan benarkan mereka gunakan lagi data daripada myIDENTITI ini untuk pastikan tiada kebocoran data daripada mana-mana agensi.

“Jangan bimbang, sistem kawalan keselamatan kita agak kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, hari ini.

Media semalam melaporkan pangkalan data yang dikatakan milik JPN didakwa telah dijual di forum pasaran pangkalan data terkenal.

Penjualnya mendakwa ia mengandungi empat juta data peribadi rakyat Malaysia yang diperoleh daripada portal rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY.

Pangkalan data JPN itu disertakan dengan tanda harga 0.2 BTC bersamaan dengan harga sekitar RM35,495, menurut laporan media tersebut.

Sistem myIDENTITY kendalian JPN membolehkan warganegara dan pemastautin tetap mencapai maklumat peribadi dan mengemas kini maklumat perhubungan semasa berurusan secara dalam talian dengan agensi kerajaan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram