. GAMBAR: Abd Razak Aid

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) hari ini mengumumkan tujuh kelonggaran baharu buat semua rakyat Malaysia yang ingin keluar negara tanpa perlu memohon kelulusan MyTravelPass (MTP) berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pengecualian daripada memohon kelulusan MTP itu diberikan kepada pelajar yang baru mendapat tawaran belajar di universiti luar negara bersama dua orang pengiring.

Menurutnya, turut berikan pengecualian ialah pelajar lama yang menyambung pelajaran di luar negara dan pelajar yang menduduki peperiksaan di luar negara dengan kedua-duanya dibenarkan membawa dua orang pengiring.

“MTP tanpa permohonan juga diberikan kepada warganegara yang mempunyai urusan kecemasan seperti kematian dan sakit kritikal serta bertemu isteri atau suami di luar negara dimana perkahwinan hanya didaftarkan diluar negara.

“Selain itu, MTP tanpa permohonan juga diberikan kepada warganegara yang menyertai acara sukan, seminar dan mesyuarat serta mereka yang menyertai misi bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee menjelaskan bahawa, diplomat Malaysia dan diplomat asing kekal tidak perlu memohon MTP seperti ketetapan sedia ada.

“Semua dokumen berkaitan tujuan perjalanan hendaklah ditunjukkan kepada Pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter-kaunter di mana-mana pintu masuk negara,” tambahnya.

Buat masa ini, terdapat lima kategori tidak perlu memohon kelulusan melalui MTP untuk ke luar negara iaitu diplomat dan pegawai Kedutaan Malaysia yang kembali bertugas di luar negara termasuk tanggungan masing-masing.

Pengecualian itu turut membabitkan pelajar dan tanggungan yang meneruskan pengajian dengan syarat memiliki visa pelajar atau visa tanggungan yang sah serta pemegang pas jangka panjang di luar negara (Pemastautin Tetap/Pas Residen/Pas Kerja dan lain-lain).

Dua lagi kategori ialah bekerja dengan syarikat petroleum dan syarikat perkapalan yang perlu ‘sign-on’ ke atas kapal di luar negara serta mengiringi pelajar ke luar negara bagi tujuan belajar terhad kepada dua pengiring sahaja dengan pengiring perlu melakukan perjalanan keluar bersama-sama pelajar pada masa yang sama.

Permohonan melalui MyTravelPass perlu dibuat 14 hari sebelum hari jangkaan berlepas secara dalam talian melalui portal https://mtp.imi.gov.my