PENYANYI Zizi Kirana memberitahu, penceramah bebas, Ustazah Asri Mansor adalah insan pertama yang mengetahui tentang hubungannya dengan pelakon Yusuf Bahrin.

Kata Zizi atau Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil,36, dia banyak berkongsi cerita dan bertanyakan pendapat dengan Ustazah Asri sebelum membulatkan hati untuk menerima lamaran Yusuf.

“Ustazah Asni merupakan antara individu yang terawal yang mengetahui tentang hubungan saya dengan Yusuf. Saya banyak berkongsi cerita bersama dia, bertanya pendapat antaranya mengenai persiapan sebelum mendirikan rumah tangga dan ada kala perbualan kami berlarutan sehingga pukul 4 pagi.

“Ustazah tidak mengenali Yusuf. Apabila saya menyatakan niat kami, antara soalan yang diajukannya ialah “Siapa dia? Nak tengok gambar”. Saya memberi dia akaun Instagram Yusuf, selain meminta ustazah untuk bersama-sama melakukan solat Istikharah,” katanya.

Penyanyi lagu Eh! itu berkata, dari awal perkenalannya dan suami, dia tidak pernah mempertikai sama ada Yusuf mampu membimbing dirinya atau sebaliknya.

“Proses dan persiapan pernikahan kami sangat mudah serta cepat. Menjelang hari pernikahan kami, saya lebih tenang dan santai berbanding orang sekeliling termasuk keluarga, kawan serta pengurus,” ujarnya.

Lebih manis, pernikahan itu juga menemukannya dengan kenangan paling indah apabila dia dapat kembali menghubungi bapanya yang kali terakhir ditemui ketika dia berusia 3 tahun.

“Ibu dan bapa bercerai dan kami tidak berjumpa lagi sejak usia saya 3 tahun. Dalam usaha mencari wali, termasuk untuk mengiklan mengenainya di akhbar, Allah SWT mempermudahkan urusan saya.

“Saya melakukan carian di Instagram dan terjumpa nama adik-beradik yang sebapa. Apabila dimaklumkan kepada emak, dia terlebih dahulu menghubungi bapa untuk menyatakan hasrat kami. Hanya selepas itu, baru saya bercakap dengan bapa.

“Walaupun hanya dapat berhubung melalui panggilan telefon, dia memberikan kerjasama yang sangat baik. Segala dokumen penting untuk pernikahan saya dan Yusuf dihantar melalui kaedah kurier,” katanya.

Bagi Zizi, dalam setiap kesulitan pasti ada jalan keluar dan dia menyerahkan serta menggantung seluruh pengharapan kepada Allah yang berkuasa mengatur segala urusan hidupnya.

Dia juga turut merancang untuk membawa suaminya berjumpa dengan bapa kandungnya apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan, Zizi berkata, dia dan Yusuf sangat bersyukur kerana banyak pihak yang mendoakan kebahagiaan serta kebaikan untuk mereka.

Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September lalu dengan hanya sekali lafaz di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.