Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. /Gambar media sosial Bernama Radio

KEPUTUSAN baik pulih Kompleks Seri Perdana dilakukan bagi memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi ketua kerajaan dan imej negara kepada keadaan asal.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bangunan warisan kerajaan itu akan mengalami kerosakan lebih teruk pada masa hadapan dan kos baik pulih pasti meningkat sekiranya tidak dibaik pulih dengan segera.

Beliau menegaskan telah menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana ketika mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada bulan Mac 2020.

Kata beliau, kerosakan itu melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang.

Menurut Muhyiddin, kebocoran bumbung dan sistem perpaipan itu juga telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti pendingin hawa juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu usang.

“Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, JPM juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi bekas Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kerja baik pulih Seri Perdana libat kos RM38.5 juta – Abd Latiff

Mengulas lanjut, Muhyiddin memaklumkan, sebahagian besar daripada kos baik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal dengan kos agak tinggi disebabkan saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi.

Muhyiddin menjelaskan, proses baik pulih juga dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan hasil berkualiti dengan kerja itu dipantau rapat pasukan petugas dianggotai pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPM.

“Saya percaya JKR dan JPM yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.

“Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.

“Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri,” jelas beliau.

Semalam, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad menjelaskan kompleks Seri Perdana yang menjadi kediaman rasmi kerajaan untuk Perdana Menteri telah mencecah usia 22 tahun dan telah mengalami banyak kerosakan.

Justeru, katanya, JKR telah membuat skop kerja-kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM38.5 juta termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram