HUJAN yang turun dari awal pagi hari ini telah mewujudkan limpahan air bewarna merah di sekitar perkampungan Seri Jaya Batu 6, Tampoi, Johor Bahru. FOTO ihsan MEDIA SOSIAL

PENDUDUK Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi, Johor Bahru gempar apabila air banjir yang menaiki kediaman mereka pagi ini berwarna merah dan berbau seperti minyak.

Penduduk mendakwa, air berwarna merah itu berpunca daripada sebuah kilang elektronik berhampiran yang sudah tidak beroperasi sejak setahun lalu.

Seorang penduduk, Azmi Misri, 54, berkata, banjir merah yang pertama kali berlaku itu terjadi selepas hujan lebat lebih tiga jam awal pagi ini.

Kata bekas Ketua Kampung Pasir itu, banjir merah terbabit menimbulkan kebimbangan penduduk kerana berbau seperti minyak selain anggota badan menjadi gatal.

“Banjir kilat memang sering melanda kawasan ini apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang, namun banjir merah pagi tadi tidak pernah berlaku.

“Saya dan penduduk di sini, percaya banjir merah ini berpunca dari kilang elektronik berhampiran yang setahun sudah tidak beroperasi, berikutan bau minyak yang kuat dipercayai dari mesin dan bahan yang ditinggalkan di situ,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Mengulas lanjut, Azmi menegaskan penduduk berharap kejadian banjir merah itu disiasat pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kepada kesihatan penduduk.

“Kawasan Kampung Seri Jaya Baru kerap berlaku banjir kilat apabila hujan lebat bertembung air Sungai Skudai yang pasang.

“Ia berikutan tiga pam yang sepatutnya mengepam limpahan air di tali air serta anak sungai ketika hujan lebat, yang terletak di kampung ini difahamkan sudah rosak dan tidak dapat berfungsi menyebabkan kerap berlaku banjir kilat,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas , Mohd Yazid Abdul Rahman, berkata, air banjir kilat awal pagi tadi naik hingga ke paras satu meter surut dalam kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Ujar beliau, pihaknya melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir bewarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

Bagaimanapun air banjir berkenaan tidak membawa kemudaratan kepada penduduk kampung.

“Pada awalnya kami bimbang air banjir itu boleh membawa kemudaratan terutama dalam kalangan penduduk kampung warga emas dan kanak-kanak.

“Namun air merah itu surut dalam tempoh beberapa jam dan tiada masalah lain yang timbul.

“Penduduk berkenaan juga tidak dipindahkan ke kawasan lain dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Bagaimanapun, bomba tidak dapat mengenalpasti punca warna air banjir itu.