Bangunan KWSP yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. GAMBAR: ABD RAZAK AID

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan pengeluaran berjumlah RM20.58 bilion bagi program i-Citra melibatkan seramai 4.98 juta permohonan setakat 31 Ogos lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM4.71 bilion atau 23 peratus daripada jumlah pengeluaran yang diluluskan telah dikreditkan kepada pemohon.

Kata beliau baki amaun pengeluaran akan dikreditkan kepada ahli berdasarkan jadual bayaran yang telah ditetapkan bagi pengeluaran i-Citra.

Beliau berkata, pembayaran terakhir adalah pada bulan Februari 2022.

“Permohonan i-Citra telah dibuka kepada ahli pada 12 Julai 2021 sehingga 30 September 2021.

“Pembayaran pertama telah dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos 2021,” katanya dalam jawapan bertulis.

Baca artikel berkaitan: KWSP catat RM34.05b pendapatan pelaburan separuh pertama

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang bertanyakan status terkini program i-Citra KWSP yang telah dilaksanakan pada bulan Julai 2021.

i-Citra merupakan salah satu program pengeluaran khas yang diperkenalkan KWSP untuk membantu ahli meneruskan kelangsungan hidup dalam menempuhi cabaran dan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Program berkenaan membolehkan ahli berumur di bawah 55 tahun untuk mengeluarkan simpanan sehingga RM5,000 tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun 1 dan Akun 2.

Ahli perlu mengekalkan baki minimum sebanyak RM100 dalam Akaun 1.

Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara berkala sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram