Oleh DATUK DR. HASAN MAD

SEMASA membahaskan perkara berkaitan pemilikan ekuiti korporat bumiputera di Parlimen, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ternyata jahil mengenai hasrat kerajaan mengenainya, dengan menekankan bahawa “jalan penyelesaian untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera adalah dengan mengambil ekuiti dari rakyat bukan bumiputera dan berikan kepada bumiputera”.

Sebagai seorang wakil rakyat, kenyataan sedemikian melambangkan kejahilan beliau mengenai syor yang dibentangkan. Malah ia boleh ditakrif berbaur hasutan dan boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan bukan bumiputera.

Sepatutnya juga portal berita yang menyiarkan kenyataan sedemikian wajib berhati-hati. Jika ia sesuatu kenyataan yang salah dan mengelirukan, tidak sepatutnya disiarkan.

Apa yang Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri ismail Sabri Yaakob cuba lakukan ialah untuk RMK-12 re-visit DEB 1970 yang mensasarkan pegangan ekuiti bumiputera pada paras minimum 30 peratus. Ia sesuatu yang munasabah.

Pertama, kerajaan tidak mensasarkan pegangan itu mengikut peratusan penduduk. Bumiputera 67 peratus memegang ekuiti 30 peratus dan bukan bumiputera 32 peratus memegang mengikut kemampuan mereka.

Kedua, dalam mencapai sasaran itu, kerajaan tidak kata ia akan dilakukan menerusi pengambilan ekuiti yang dipegang oleh bukan bumiputera. Itu sebab saya katakan kenyataan Syed Saddiq itu berunsur firnah dan cuba mencetuskan ketegangan antara etnik.

Ketiga, bagi mengekalkan pegangan ekuiti korporat bumiputera yang diagihkan atau dimiliki bumiputera, salah satu mekanismenya ialah dengan menwujudkan Bumiputera Equity Safety-net System yang ditadbir urus oleh agensi, institusi atau sekretariat kepentinagan bumiputera, seperti MARA atau TERAJU. Ia tiada kena mengena dengan ekuiti yang dimiliki bukan bumiputera.

Keempat, bagi mencapai misi itu, pendekatannya ialah dengan ‘membesarkan’ pegangan oleh bumiputera menerusi beberapa kaedah, seperti yang pertama menambah pemilikan PLC dalam kalangan bumiputera terutama PLC Main Board. Kedua, menerusi penyenaraian lebih banyak mid-tiers corporations milik bumiputera dan ketiga diperkukuhkan lagi usaha mendidik bumiputera melabur menerusi pemilikan ekuiti korporat, iaitu aset bukan kewangan, selain aset berbentuk hartanah dan tanah.

Kelima, setiap pasaran modal hendaklah juga menarik pelaburan asing kerana kehadiran mereka bermaksud meningkatkan kecairan dana yang berada dalam pasaran modal tempatan yang dapat digunakan oleh PLC yang tersenarai mengembangkan bisnes masing-masing. Jika terlalu rendah agihan ekuiti yang mereka pegang bermakna pasaran modal Malaysia bukanlah syurga pelaburan bagi mereka. Ia juga penanda bahawa PLC Malaysia adalah syarikat-syarikat yang kurang menguntungkan untuk dilabur. Akan tetapi kita juga tidak mahu lihat pasaran modal negara dimonopoli oleh mereka.

Justeru, pegangan ekuti asing yang akan turun naik mengikut pasaran modal negara semasa sekitar 40 peratus adalah justifiable.

Hendaknya Syed Saddiq lebih berhemah dalam berhujah.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu