Seorang remaja pengsan selepas menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi Encore, Klebang di Melaka, semalam.

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengakui terdapat kekeliruan dalam maklumat awal berkaitan video tular mengenai seorang remaja yang rebah di kawasan parkir kereta sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri itu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Melaka, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, kekeliruan itu muncul ekoran dua kejadian hampir sama berlaku di PPV yang sama iaitu PPV Encore, Klebang dan pada hari sama.

Menurut beliau, kes pertama melibatkan kes dalam video tular melibatkan seorang remaja berusia 13 tahun dari sebuah sekolah menengah di Melaka.

Dr. Rusdi berkata, remaja itu sangat gementar semasa proses vaksinasi tetapi tiada sebarang kesan sampingan yang dilihat sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

“Namun begitu, selepas selesai pemerhatian dan dalam perjalanan ke kawasan parkir kenderaan, remaja ini secara tiba-tiba lemah dan rebah sehingga perlu dipapah ahli keluarganya masuk semula ke PPV bagi tujuan pemeriksaan.

“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati keadaan remaja tersebut stabil dengan tekanan darah, nadi dan paras oksigen dalam darah adalah normal.

“Pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja berkenaan menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang manakala panggilan telefon susulan kepada keluarga mendapati remaja itu sihat dan aktif seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Remaja rebah lepas vaksinasi kerana gementar, kurang tidur dan tidak sarapan

Dr. Rusdi memaklumkan, siasatan lanjut mendapati remaja berkenaan tidur awal sebelum hari kejadian, telah mengambil sarapan pagi dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau alahan.

Kejadian berkenaan, kata beliau, disebabkan remaja itu terlalu gementar dan menyebabkan beliau mengalami ‘vasovagal attack’ atau pengsan.

Jelas Dr. Rusdi, kejadian kedua pula melibatkan seorang remaja berusia 12 tahun daripada sebuah sekolah rendah yang hadir secara datang terus bersama keluarga ke PPV yang sama.

Katanya, remaja tersebut mengadu sakit kepala dan kemudian lemah sebelum dibawa masuk semula ke PPV selepas proses vaksinasi dengan pemeriksaan pegawai perubatan mendapati keadaan remaja itu juga stabil.

“Hasil siasatan lanjut mendapati remaja kedua ini telah tidur lewat iaitu pada pukul 2 pagi serta tidak berselera makan dan hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi itu.

“Remaja ini tidak mempunyai masalah kesihatan, tidak pernah dimasukkan ke hospital atau mempunyai sebarang sejarah alahan sebelum ini dengan kejadian ini disahkan berlaku disebabkan gementar, kurang tidur dan tidak mengambil sarapan sebelum vaksinasi.

“JKNM bersama pejabat kesihatan daerah akan terus memantau status kesihatan kedua-dua remaja ini dari semasa ke semasa.

“JKNM juga memohon maaf sekali lagi atas kekeliruan yang timbul berkenaan hal ini,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram