SELEBRITI terkenal Indonesia, Ashanty gembira melihat hubungan anak tirinya, Aurel Hermansyah dengan ibu kandungnya, Krisdayanti semakin baik dan akrab.

Sejak disahkan berbadan dua, Aurel dilihat sering berada disamping Krisdayanti. Situasi itu bagaimanapun tidak mengundang persepsi yang mendakwa Ashanty berkecil hati melihat hubungan baik mereka.

Umum mengetahui Aurel dibesarkan di bawah jagaan Ashanty dan suami, Anang Hermansyah yang merupakan bekas suami Krisdayanti.

“Saya senang hati sahaja melihat mereka seperti itu. Lagi pun mereka ada bekolaborasi dalam nyanyian, sebab itu perlu sentiasa ada bersama,” katanya menerusi program temu bual Youtube KH Infotainment memetik laporan Liputan6.

Malah, menurut Ashanty, sejak mendirikan rumah tangga bersama Anang, Aurel yang dijaga mereka jarang bertemu ibunya.

Namun, itu tidak bermakna hubungan mereka renggang seperti mana yang disangka pihak luar.

Meski jarang bertemu, hubungan antara Aurel dengan Krisdayanti tidak pernah renggang.

“Aurel sudah bernikah dan tidak lagi tinggal bersama kami, jadi mungkin lebih mudah untuk dia bertemu ibunya.

“Mereka berdua sejak dulu memang rapat, tak pernah renggang. Ketika ibunya ada konsert di Malaysia, Aurel juga ada datang memberi sokongan,” ulasnya.

Kongsi Ashanty lagi, sejak disahkan hamil, Aurel berkelakuan lebih manja.

“Dia sekarang sangat manja dan terpaksa dituruti suaminya. Saya ada beri nasihat sebab suaminya juga ada banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Saya sendiri setiap hari akan hubungi dia untuk tahu keadaannya. Paling penting saya selalu ingatkan supaya tidak perlu berdiet dan makan makanan yang sihat untuk kebaikan dia dan kandungannya,” katanya.

Aurel atau nama sebenarnya Titania Aurelie Nurhermansyah mendirikan rumah tangga dengan selebriti Youtube Atta Halilintar pada 3 April lalu dan majlis akad nikah pasangan itu berlangsung di Hotel Raffles, Jakarta.