MALAM esok akan menjadi penentuan enam finalis bagi merebut gelaran juara COF LOCKSTAR dan membawa pulang wang tunai RM50,000.

Program realiti pertama secara dalam talian terbitan syarikat rakaman COF Music itu akan disiarkan dalam saluran Youtube COF Music, pukul 9 malam.

Pengarah Urusan, Aman Nassim berkata, COF LOCKSTAR yang bermatlamat melahirkan penyanyi baharu bersandarkan pada bakat akhirnya dapat dicapai berdasarkan kualiti enam finalis itu.

ARTIKEL BERKAITAN : COF Lockstar program realiti nyanyian pertama secara dalam talian, COF LOCKSTAR platform tonjol bakat nyanyian

“Semua finalis ada kelebihan masing-masing. Malah, mereka juga daripada genre berbeza. Sebagai contoh, Zee Rahmat dia ada gaya tersendiri yang mana lebih pada R&B. Kalau Ryan pula rapper. Begitu juga band yang mengetengahkan muzik yang unik. Ketiga-tiga mereka ini beri persaingan hebat.

“Dari minggu pertama hingga keempat, produksi sudah memberikan pelbagai genre lagu kepada mereka. Jadi, untuk pentas akhir ini mereka bakal mempersembahkan satu lagu nyanyian semula atau ‘cover version’ dan satu lagu baru yang diciptakan khas buat mereka.

“Untuk ‘final’, kita sudah rakam persembahan dengan iringan ‘live band’. Kita nak tahu sejauh mana kemampuan mereka membuat persembahan secara ‘live band’. Hanya komen juri dan keputusan saja dibuat secara langsung.

“Berdasarkan persembahan mereka sepanjang empat minggu, saya berasakan mereka sudah bersedia masuk pasaran muzik tempatan. Kesemua fnalis ini ada kelebihan mereka dan kita juga nampak hala tuju muzik yang dibawakan. Pendek kata, mereka ada potensi besar untuk menyerlah.

“Mereka antara daripada 2,000 peserta yang hebat. Sebagai label perlu ketengahkan bakat mereka sebagai pelapis dalam industri,” katanya.

Aman mahu program COF LOCKSTAR diteruskan bagi musim kedua dengan penyertaan peserta dari negara luar

Ujar Aman, single baharu yang dipersembahkan pada peringkat akhir nanti bakal dirakamkan semula dalam versi studio bagi tujuan pasaran komersial dan promosi.

“Lagu baru yang dinyanyikan pada pentas akhir nanti akan menjadi single mereka. Untuk pasaran komersial dan promosi pula akan dirakam lain. Sebab untuk akhir ini saja mereka kena menyanyikannya secara langsung dengan band. Mereka bertuah apabila ‘live band’ diiringi oleh beberapa individu hebat dalam bidang muzik. Semua memberikan kerjasama baik.

“Setakat ini kita masih kekal dengan perancangan untuk menjadikan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga sebagai artis COF Music. Untuk yang lain pula akan dibincangkan kemudian. Jika ada perancangan, kita akan ambil mereka,” ulasnya.

Dalam masa sama, Aman optimis untuk meneruskan COF LOCKSTAR pada musim kedua selain menerbitkannya di beberapa negara lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

“Musim pertama ini kita mendapat maklum balas yang bagus. Kita akan teruskan dengan musim kedua pada tahun depan. Dengan adanya program ini, ramai bakat baru dapat tonjolkan diri.

“Mereka mahu menjadikan program ini sebagai platform mereka. Insya-Allah, jika ada stesen televisyen atau pihak lain sebagai contoh platform OTT yang ingin bekerjasama, saya okay saja.

“Cuma, apa saya harapkan memang nak buat di COF LOCKSTAR Indonesia. Sekarang ini dalam proses ke arah itu. Jika semua berjalan lancar, Insya-Allah ia berlangsung tahun depan. Selain itu, saya juga menyasarkan mahu berkerjasama dengan beberapa negara lagi seperti Singapura, Thailand dan Brunei. Kiranya, kalau dapat, musim akan datang kita nak ‘live stream’ dengan semua negara ini dalam menjayakan COF LOCKSTAR,” akhirinya.

Juara COF LOCKSTAR sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM50,000 yang mana merangkumi wang tunai RM8,888, trofi dan kontrak bersama COF Music.

Manakala tempat kedua pula, akan menerima wang tunai bernilai RM5,555 berserta trofi dan pemenang tempat ketiga meraih RM3,333 beserta trofi.

Sementara itu, turut disediakan dua kategori iaitu ‘Most Creative’ dan ‘Most Viewers’ yang masing-masing membawa pulang RM1,000 dan trofi.

Enam peserta akhir terdiri daripada Azumi, Jiha Akhir, Ryan Razali, Yusuf Kassim, Zee Rahmat dan kumpulan Banyak Bunyik Republik.