Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal sekitar kawasan perumahan yang dipagar menggunakan kawad duri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Merpati, Pandan Indah, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Padi, Mukim Telang, Lipis, Pahang yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan 14 hari lagi.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata ia dilanjutkan bermula Ahad ini sehingga 16 Oktober depan.

Menurutnya, pelaksanaan lanjutan PKPD itu berdasarkan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19.

“Sementara itu, Kampung Air, Beluran, Sabah yang mula dikenakan PKPD pada 19 September lalu ditamatkan esok seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan hari ini juga menunjukkan tiada kawasan baharu yang dikenakan PKPD yang dipercayai kali pertama berlaku. – UtusanTV