TIADA varian Mu COVID-19 dikesan di Malaysia setakat ini hasil daripada kajian sampel penjujukan genom dijalankan konsortium merangkumi tujuh makmal.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan, konsortium hasil kerjasamanya dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan institusi-institusi pengajian tinggi itu berperanan memudah cara kerjasama serta menjana hasil-hasil penyelidikan dalam bidang penyakit berjangkit virus SARS-COv-2.

Menurut MOSTI, konsortium berkenaan turut memangkinkan pembangunan vaksin tempatan.

Katanya, sejumlah 1,312 sampel telah dianalisis konsortium tersebut sehingga semalam sekali gus meningkatkan jumlah genom yang telah dimuat naik ke GISAID kepada 3,009.

MOSTI memaklumkan, sebanyak 1,246 sampel atau 94.9 peratus dikenal pasti sebagai varian jenis Delta, 11 sampel adalah varian Beta dan 55 daripada varian lain.

“Sampel-sampel ini dipilih oleh pihak KKM dan diambil dari seluruh negara dengan varian Delta diketahui lebih merbahaya menerusi kadar infektiviti yang lebih tinggi dan boleh menyebabkan timbulnya kluster baharu tempatan dengan pantas.

“Mereka yang belum divaksin juga berisiko tinggi untuk mudah mendapat varian Delta, justeru vaksinasi adalah perlindungan terbaik melawan varian ini.

“Sehingga kini, tiada varian Mu dikesan daripada sampel-sampel di Malaysia dan konsortium ini akan terus memantau penularan varian virus SARS-CoV-2 di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 472 kes varian Delta dikenalpasti seluruh negara

MOSTI turut mengumumkan penyerahan tambahan dana sebanyak RM13.9 juta kepada konsortium tujuh makmal berkenaan.

Ketujuh-tujuh makmal itu adalah Institut Genom Malaysia (MGI); Institut Penyelidikan Perubatan (IMR); UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) dan Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC).

Konsortium itu turut dianggotai Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Jabatan Mikrobiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Program dihasilkan konsortium tujuh makmal itu telah berjaya meningkatkan kapasiti ujian sebanyak lima kali ganda dengan jumlah ujian ketujuh-tujuh makmal melebihi 1,000 ujian genom sebelum berbanding 200 sebulan sebelum ini.

Dana tambahan diluluskan MOSTI itu dijangka dapat meningkatkan penjujukan tambahan genom virus SARS-CoV-2 sehingga 10,000 sampel.

Sementara itu, MOSTI turut mengumumkan kelulusan dana sebanyak RM3.23 juta di bawah Dana Penyelidikan Strategik untuk membiayai projek penjujukan genom virus SARS-CoV-2 yang merupakan virus penyebab penyakit COVID-19.

MOSTI memaklumkan, projek itu dijangka menjujuk 3,000 genom virus SARS-CoV-2 yang amat penting dan strategik untuk mengenal pasti dan memantau varian virus terutama varian dibimbangkan (VOC) seperti varian Delta dan varian mempunyai kepentingan termasuk Lambda dan Mu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram