PELAWAK Shuib Sepahtu akhirnya berkongsi wajah anak bongsunya, Ayash Affan yang kini berusia dua bulan.

Menerusi entri di Instagram, Shuib atau Shahmira Muhamad,37, memuat naik video berdurasi dua minit lapan saat yang memaparkan wajah anak lelakinya untuk tatapan peminat yang sekian lama menanti.

“Assalamualaikum, nama saya Ayash Affan bin Shahmira. Terima kasih kerana mendoakan kesejahteraan saya,” tulisnya.

Hantaran itu mengundang rasa sebak peminat saat mengenangkan bayi comel itu tidak sempat melihat wajah ibunya, Siti Sarah yang meninggal dunia selepas melahirkan secara pembedahan.

Ruangan komen Instagram Shuib dihujani dengan komen memuji kecomelan serta mendoakan agar zuriatnya itu membesar dengan sihat dan menjadi anak soleh.

Siti Sarah,37, meninggal dunia pada 9 Ogos lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur akibat Covid-19.