Lapan kedai dan hampir 50 rumah musnah dalam kebakaran di Karak malam tadi./ Gambar media sosial

KEBAKARAN dahsyat di Karak malam tadi menyebabkan 48 rumah dan lapan kedai di pekan tersebut musnah.

Bagaimanapun, syukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian di Kampung Baru Cina Karak, Bentong yang berlaku kira-kira 9.10 malam.

Kebakaran itu juga tular di media sosial melihatkan skala tragedi itu yang memerlukan kira-kira tiga jam untuk bomba mengawalnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, ketika ini anggotanya masih berada di lokasi kejadian bagi memantau keadaan.

Lapan kedai dan hampir 50 rumah musnah dalam kebakaran di Karak malam tadi./ Gambar media sosial
Lapan unit kedai di pekan Karak turut terlibat dalam kebakaran yang bermula jam 9.10 malam tadi./ GAMBAR Media sosial.

Katanya, dalam kejadian itu, bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.20 malam dan seramai 52 anggota bomba bersama 10 jentera bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman.

“Bomba berjaya mengawal kebakaran sekitar 12.10 tengah malam dan kedudukan rumah yang begitu rapat dipercayai menyebabkan kebakaran cepat merebak,” katanya hari ini.

Wan Mohammad Zaidi berkata, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat.

ADUN Ketari, Young Syefura Othman meninjau lokasi kejadian kebakaran di Karak malam tadi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman yang turut meninjau lokasi kejadian mengucapkan terima kasih kepada bomba dan agensi lain yang bertungkus-lumus memadam kebakaran malam tadi.

“Terima kasih diucapkan kepada Bomba dan Penyelamat, APM, Polis dan agensi lain yang datang dari banyak tempat untuk membantu memadam kebakaran di Karak.

“Alhamdulillah setakat ini tiada lagi laporan kehilangan nyawa,” katanya menerusi Facebook beliau awal pagi ini.