hauqalah harta karun syurga

Ramai yang tidak menyedari terdapat satu kalimah zikir, jika diamalkan mampu memberi daya keupayaan yang tidak terbatas kepada pengamalnya. Kalimah ini adalah satu pakej lengkap yang ditawarkan oleh Allah kepada hambanya yang beriman.

Ia bukan sahaja membuka pintu-pintu kekayaan, bahkan lebih daripada itu, kalimah ini turut memberi kekuatan luar biasa dengan sentiasa mendapat perlindungan Allah. Bagi yang dilanda kesedihan, kekecewaan, kesengsaraan dan apa juga musibah, kalimah inilah akan menjadi ubat yang paling mujarab.

Syaratnya tidak susah. Amalkan setiap hari sama ada pagi, petang atau malam. Fahami secara mendalam maksud kalimah tersebut berserta iman yang kukuh.

Dalam satu kisah yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asya’ri,  ketika para tentera Islam sedang melalui sebuah lembah, mereka beramai-ramai melaungkan takbir dengan kuat. Lalu Baginda s.a.w. memberi cadangan agar mereka tidak melaungkan takbir, tetapi mengajarkan mereka lafaz hauqalah, kerana lafaz ini lebih baik dan tepat dalam situasi tersebut, berbanding lafaz takbir.

Terdapat tiga pandangan yang menyatakan waktu lafaz ini diajarkan oleh Baginda s.a.w. Pandangan pertama sewaktu umat Islam sedang dalam perjalanan pulang meraikan kemenangan perang Khaibar. Pandangan kedua ketika sedang berkecamuknya peperangan. Manakala pendapat ketiga, sewaktu tentera Islam sedang menuju ke medan perang.  Lafaz yang diajarkan oleh Baginda s.a.w. ialah “La haula wala quwwata illa billah

Pakej Lengkap

Lafaz yang dinamakan hauqalah atau haulaqah ini membawa maksud “tidak bergerak dan juga tiada kekuatan melainkan dengan kuasa Allah sahaja”. Dalam ayat ini terdapat beberapa aspek yang menjadi tunjang kalimah iaitu daripada segi tauhid, rukun iman, serta kebergantungan kepada Allah.

Kerana itu ia menjadi ubat tonik yang sangat mujarab dan pakej lengkap kita sebagai hamba Allah yang sentiasa mengharapkan bantuan-Nya.

Abdullah ibn Abbas mentakwilkan ayat ini dengan maksud,

“Tidak ada pergerakan daripada kita dalam amalan dengan taat, kecuali Allah yang mendorong kita untuk berbuat taat. Dan tidak ada kekuatan bagi kita meninggalkan maksiat, kecuali daripada Allah juga”.

Ia memberi konotasi bahawa manusia ini sememangnya adalah insan lemah, yang memerlukan Allah dalam setiap aspek tindakan sama ada baik atau buruk.

Amalkan membaca hauqalah untuk beroleh kekayaan di syurga

Manakala Abdullah ibnu Masu’d mentafsirkan kalimah ini dengan maksud,

“Tidak ada perubahan daripada maksiat dengan Allah kecuali dengan kebaikan daripada Allah, dan tidak ada kekuatan untuk melakukan taat kecuali dengan bantuan daripada Allah.”

Secara mudahnya dalam apa jua keadaan yang kita lakukan, sebutlah hauqalah. Ini merupakan butang switch on bagi kita dalam melakukan sesuatu perkara selain daripada lafaz basmalah.

Dan kerana itulah juga, lafaz “haiyya a’la solah” dan “haiyya a’lal falah” dalam azan dijawab dengan “La haula wala quwwata illa billah” sebagai satu bentuk manifestasi sumber kekuatan kita, terhadap kebergantungan kepada kekuasaan Allah.

Dengan daya kekuasaan Allah sahaja yang mendorong kita untuk mendirikan solat dan beroleh kejayaan.

Kelebihan Hauqalah

Adapun pahala yang dijanjikan kepada orang yang membaca hauqalah disebutkan dalam banyak hadis. Namun yang masyhur, kelebihan yang dijanjikan bagi pengamal zikir ini ada dua iaitu dijanjikan harta karun di syurga dan memperoleh kunci bagi pintu-pintu syurga.

Baginda s.a.w. telah bersabda,

“Wahai Abdullah b. Qais, mahukah engkau aku beritahu tentang kalimah yang akan menjadi salah satu daripada harta-harta karun di syurga?” Abdullah menjawab, “Sudah tentu ya Rasulullah, apakah ia?”  “Bacalah La haula wala quwwata illa billah,” jawab Baginda s.a.w.” – HR Muslim

Dalam sebuah hadis yang lain pula, Abu Dzar r.a. mengatakan,

“Aku berjalan di belakang Rasulullah, lalu Baginda berkata kepadaku, “Adakah kamu mahu aku tunjukkan kunci-kunci pintu syurga? Aku berkata, “Mahu ya Rasulullah”. Baginda bersabda, “Bacalah La haula wala quwwata illa billah”.

Menurut pentafsiran ulama, yang dimaksudkan dengan kunci-kunci syurga ialah amalan membaca kalimah hauqalah akan menjadikan syurga itu dipenuhi dengan harta-harta berupa pohon-pohon, istana, sungai, minuman, bidadari dan sebagainya.

Ia sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj. Harta karun itu berupa tanaman (seperti kita yang menanam).

Benih kekayaan di syurga adalah zikir hauqalah yang sangat indah maknanya

Diriwayatkan daripada Ahmad ibnu Hibban daripada Abu Ayub al-Ansari, pada waktu Israk Baginda s.a.w. telah bertemu dengan nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. telah berpesan dengan menyuruh umat Baginda s.a.w. memperbanyakkan tanaman mereka di syurga. Lalu Baginda s.a.w. bertanya, “Apa tanaman syurga itu? Jawab Ibrahim a.s. “Bacalah hauqalah”.

Kehidupan kita di dunia ini, walaupun mempunyai latar kerjaya yang pelbagai, tetap merupakan seorang peladang yang sentiasa menanam benih untuk dituai hasilnya di akhirat nanti (syurga).

Justeru, jika seorang peladang tidak menanam benih, masakan dapat dituai hasilnya. Begitulah jika kita tidak mengamalkan kalimah zikir ini, jadilah kita seorang yang papa ketika berada di sana. Pendek kata sesiapa sahaja yang ingin menjadi kaya di syurga dengan harta yang melimpah ruah,  banyakkanlah membaca hauqalah.

Jaminan Keselamatan

Orang yang mengamalkan membaca kalimah hauqalah juga akan sentiasa mendapat perlindungan Allah. Bukankah Baginda s.a.w. ada bersabda,

“Barang siapa yang menyebut hauqalah, maka Allah akan menyahutnya dengan kata “hamba-Ku akan selamat dan akan diselamatkan.”

Apabila seorang hamba menyebut “Laa ilaaha illallah, wallahu akbar” ia membawa maksud dia percaya dengan hatinya tidak ada tuhan melainkan Aku (Allah) dan Akulah yang paling besar. Apabila dia menyebut “Laa ilaaha illallahu wahdah” ia bermaksud seorang hamba itu hanya satu sahaja yang disembah iaitu Allah S.W.T.

Manakala untuk lafaz “Laa ilaaha illallahu wahdahu la syarikalah” bermakna hanya Aku sahaja yang disembah tidak ada tuhan yang lain. Kemudian apabila menyebut “Laa ilaaha illallah, lahul mulku walahul hamdu lillah” ia bermakna hanya Aku sahaja yang mampu memiliki dan dipuji.

Amalkan zikir hauqalah kepada anak-anak sedari usia bayi lagi supaya mereka beroleh rahmat dari Allah

Tetapi apabila seorang hamba membaca “Laa ilaaha illallah, wala haula wala quwwata illah billah” ia memberi penjelasan dan maksud yang ketara bahawa hamba-Ku mengakui Akulah Tuhan yang disembah dan Akulah sahaja yang mampu menggerakkan mana-mana perbuatan.

Abu Said al-Khudri mengatakan, Baginda s.a.w. menyebutkan antara amalan-amalan yang baik dan kekal hingga syurga iaitu, bertakbir, bertahlil, bertasbih, bertahmid dan hauqalah.

Begitu juga hadis susunan Abu Daud, dan an-Nasai mengatakan,

“Telah datang seorang lelaki bertemu Baginda s.a.w. mengadukan halnya, “Ya Rasulullah aku ini  tidak pandai belajar dan membaca al-Quran, jadi ajarkan aku sesuatu, apakah amalan yang boleh mendatangkan pahala.” Jawab Baginda s.a.w. “Bacalah tasbih, tahmid, walaa ilaa ha illallah, takbir dan hauqalah.”

Justeru itu banyakkanlah zikir walau di mana jua berada, kerana ia merupakan sekecil-kecil ibadah tetapi mempunyai sebesar-besar ganjaran.  

__________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram