Di Malaysia peratusan kanak-kanak bawah usia 14 tahun meninggal dunia akibat kecederaan ekoran kemalangan lebih tinggi dari peratusan kanak- kanak yang meninggal diakibatkan oleh penyakit.

Sebagai orang dewasa kita mampu mencegah kejadian tidak diingini berlaku. Sekalipun anda menangis hingga mengeluarkan air mata darah nyawa anak-anak tidak dapat dikembalikan sekiranya anda hanya bertindak selepas kejadian tidak diingini itu berlaku.

Berikut adalah tip yang boleh diamalkan demi keselamatan anak-anak anda :

PEMAKANAN

Beruntungnya wanita yang bergelar ibu, anda dianugerahkan Allah S.W.T susu yang kaya dengan kandungan lemak, gula, air dan juga protein yang sempurna sesuai untuk tumbesaran bayi. Ianya percuma lagi menjimatkan wang! Berganda-ganda khasiatnya jika dibandingkan dengan susu formula. Susu ibu juga bertindak seumpama antibiotik yang mampu mengelakkan anak anda dari jangkitan penyakit.

Bayi yang menyusu susu ibu didapati lebih kurang mendapat jangkitan paru-paru, jangkitan kuman pada pundi kencing, telinga dan juga septicimia.

Ibu-ibu dinasihatkan mengelakkan pengambilan minuman beralkohol dan dadah sepanjang proses menyusukan bayi. Bagi ibu-ibu yang memilih untuk menyusukan bayi dengan menggunakan susu formula melalui botol susu, jangan tinggalkan bayi anda sendirian ketika menyusu. Dikhuatiri bayi anda akan tersedak ataupun tertidur ketika menyusu dengan puting botol susu masih lagi berada di dalam mulut.

Bancuh susu hanya ketika bayi anda ingin menyusu. Panaskan susu di dalam bekas berisi air panas dan uji suhu susu dengan titiskan susu di pergelangan tangan (untuk memastikan susu tidak terlalu panas untuk diminum).

Penggunaan puting adalah tidak digalakkan kerana boleh merosakkan barisan gigi. Bagi kanak-kanak yang menggunakan puting, pastikan pelindung puting mesti cukup besar supaya tidak tertelan oleh anak.

ALAT PERMAINAN

Elakkan alat-alat mainan yang berikutnya:

• Berbucu tajam atau mempunyai kemasan yang kasar.

• Bertali melebihi 30 sentimeter. Ini boleh menyebabkan tali berkenaan mudah terbelit di leher anak sekiranya tidak diawasi sebaik mungkin.

• Mempunyai tangkai atau pemegang yang panjang yang boleh dimasukkan ke dalam mulut atau mencucuk mata.

• Diperbuat daripada bahan yang mudah pecah atau koyak.

• Mempunyai bulu atau rambut panjang yang boleh menyebabkan alahan.

• Mempunyai enjin atau kipas yang berputar.

• Pastikan mainan dibeli tidak mudah tanggal dan patah terutama akibat hentakan dan tarikan. Periksa bahagian mainan seperti hidung, mata (bagi anak patung atau patung beruang) dan bahagian yang bercantum sama ada ia dilekatkan dengan kuat dan tidak mudah tanggal.

• Elakkan membeli barangan permainan yang diperbuat daripada bahan plastik nipis kerana ia mudah patah dan pecah dan meninggalkan bahagian tajam yang boleh melukakan bayi.

• Jika anda membeli mainan yang boleh dipicit atau ditekan bagi mengeluarkan bunyi, pastikan ia lebih besar daripada mulut bayi anda kerana mereka suka memasukkan barangan ke dalam mulut.

PERGERAKAN KANAK-KANAK

Ubah ketinggian tilam katil bayi ke aras terendah apabila bayi mula meniarap dan berdiri. Ubahsuai juga ketinggian palang atas katil bayi supaya dia tidak boleh memanjat keluar.

Alat bantuan berjalan kanak-kanak adalah berbahaya. Anda dinasihatkan supaya jangan menggunakannya. Dengan alat ini, bayi boleh bergerak dengan lebih laju dan mencapai barang-barang di sekelilingnya. Bayi mendapat kebolehan untuk bergerak sebelum dia bersedia dan ini menyebabkan bayi lebih cenderung untuk mendapat kecederaan serius. Penggunaan alat bantuan berjalan tidak akan membantu kanak-kanak belajar berjalan dengan lebih cepat atau pantas