PEGUAM Negara (AG) digesa menjelaskan mengenai kes individu berprofil tinggi yang dilepaskan atau dibebaskan dari pendakwaan dengan sama ada memulangkan sejumlah wang yang didakwa diterima secara tidak sah atau dengan membuat bayaran kompaun.

Gesaan itu dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama tiga presiden parti dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Untuk rekod, Guan Eng juga pernah dibebaskan dan dilepaskan selepas pihak pendakwaan tidak meneruskan kes terhadapnya berhubung isu rasuah pembelian banglo ketika era pentadbiran Kerajaan PH.

Dalam isu terbaharu melibatkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Majlis Presiden PH menggesa Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terletak di tangan AG.

“AG juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi prosedur operasi standard (SOP) baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berofil tinggi yang lain.

“Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan balik sebahagian daripada “barang kes” tersebut?,” kata Majlis Presiden PH.

Kenyataan itu merujuk kepada perbuatan mencuri yang merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun Ahmad Maslan tidak didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana mencuri tetapi Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Sebab itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam respons segera menjelaskan kompaun ke atas Ahmad Maslan adalah tindakan punitif.

Dalam satu kenyataan, jelas SPRM, tindakan itu juga merupakan satu bentuk pemulangan aset (asset recovery) di bawah AMLATFPUAA 2001.

Malah jelas SPRM, Ahmad Maslan pernah ditawarkan kompaun yang sama pada Oktober 2019 Iaitu ketika PH masih menerajui Kerajaan Persekutuan.

Baca artikel berkaitan: Ahmad Maslan bebas tuduhan gagal isytihar RM2 juta, beri pernyataan palsuP

ernah ditawar kompaun pada 2019, tetapi Ahmad Maslan pilih bicara ketika itu – SPRM

Ahmad Maslan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi tiga hari lalu atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada SPRM selepas membayar kompaun RM1.1 juta.

Sementara itu, Majlis Presiden PH itu turut melahirkan rasa kesal dengan sikap acuh tak acuh SPRM yang mengiakan trend baharu ini.

“Bolehkah SPRM memberikan penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan pembayaran balik wang sogokan yang dirampas seperti mana membabitkan ahli politik penyokong kerajaan?,” kata mereka.

Pada masa sama, Majlis Presiden PH berkata, demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum (rule of law), trend baharu AG dan SPRM ini jelas melanggari prinsip bahawasanya keadilan itu bukan sahaja mesti dilakukan tetapi juga mesti disaksi dilakukan.

“Tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat Ketua Pesuruhaya SPRM agar mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai,” kata kenyataan itu.

Sekadar pengetahuan am, ketika era pentadbiran PH selama 22 bulan, terdapat pendakwaan beberapa individu dalam kalangan pemimpin, aktivis dan penyokong PH turut dihentikan.

Ini menimbulkan gesaan supaya kuasa Peguam Negara menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan disemak semua.

Menerusi peruntukan itu, AG berkuasa untuk memulakan serta menghentikan pendakwaan termasuk untuk tidak mendakwa.