Firdaus Wong membuat laporan polis difitnah berhubung Telegram chanel di IPD Wangsa Maju hari ini./ Gambar FB Firdaus Wong

SELEPAS difitnah dan dituduh pemilik Telegram channel yang menyebarkan video serta gambar lucah, pendakwah bebas, Firdaus Wong tampil membuat laporan polis.

Laporan berkenaan dibuat pengasas Multiracial Reverted Muslim Malaysia (MRM) itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

“Alhamdulilah selesai membuat laporan polis tentang fitnah yang disebarkan kononnya sayalah pengasas dan pemilik Telegram channel yang menyebarkan video serta gambar lucah.

“Saya MENAFIKAN FITNAH TERSEBUT!,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

Menurut Firdaus, beliau hanya memiliki satu Telegram rasmi sahaja di pautan https://t.me/brofirdauswong.

Beliau juga menafikan sebarang fitnah yang mengaitkannya dengan penyebaran sebarang video dan gambar lucah.

“Saya akan memaafkan mereka yang memaki-hamun, menyindir, mengejek atau menghina saya tetapi saya tidak akan mendiamkan diri apabila saya difitnah.

“Saya sayangkan sahabat semua maka saya tidak mahu sahabat semua melakukan dosa fitnah tanpa disedari akibat perbuatan tidak bertanggungjawab mereka yang menyebarkan fitnah tersebut,” jelasnya.

Baca artikel berkaitan: Kamal Affandi sokong, bersama Firdaus Wong lawan pemangsa seksual!

Menyokong kebenaran atas dasar prinsip – Firdaus Wong

Firdaus baru-baru ini tampil mempertahankan hak individu daripada pemangsa seksual melibatkan individu terkenal.

Tindakannya itu kemudian mengundang ‘serangan balas’ di media sosial oleh pihak-pihak yang tidak bersetuju dengannya.

Bagaimanapun Firdaus terus konsisten membangkitkan hak mangsa terlibat yang mana kes berkenaan kini sedang ditangani pihak polis.

Polis pada masa sama berulang kali meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang tindakan atau kenyataan yang dibimbangi boleh menjejaskan siasatan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram