JIKA sebelum ini Muhammad Furqan Fawwaz Salleh, 23, dilihat bergandingan bersama-sama rakan dari kumpulan nasyid Zayne, kali ini dia memberanikan diri untuk tampil solo.

Penampilan Muhammad Furqan Fawwaz atau mesra dengan panggilan Fawwaz itu bukan bermakna dia akan meninggalkan kumpulan Zayne tapi sekadar menjayakan projek khas bersama Smart Audio Visual (M) Sdn. Bhd.

Menerusi projek ini, Fawwaz tampil dengan single berjudul Nusaibah yang telah pun dilancarkan sejak 27 September lalu menerusi saluran YouTube Smart Audio Music.

Bercerita tentang pembikinan lagu Nusaibah yang dirakam di Smart Audio Studio, Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor itu, Fawwaz berkata, untuk projek tersebut, dia mendapat sokongan penuh daripada anggota kumpulan Zayne.

“Kami anggota Zayne bebas untuk melakukan projek solo masing-masing. Ada juga ahli lain yang menyanyi dengan penyanyi lain. Mana-mana tawaran kami akan ambil dan setiap ahli terbuka untuk itu. Bila ada projek bersama, kita akan nyanyi sama-sama, bila ada projek solo, itu rezeki masing-masing.

“Saya mendapat tawaran untuk rakam lagu Nusaibah ini daripada pihak Audio Studio. Asalnya masa buat lagu Nusaibah ini saya anggap biasa-biasa saja sebab ia lagu nasyid, tertanya juga ada lagi ke peminat nasyid.

“Itu saja tanggapan saya dan tak sangka rezeki saya untuk membawa lagu ini pergi jauh lagi,” kata Fawwaz tentang lagu ciptaannya dan lirik oleh Ustaz Mohd. Izat.

Menurut Fawwaz, Ustaz Mohd. Izat atau nama penanya, UMI merupakan guru disiplinnya sewaktu belajar di sekolah Tahfiz Al-Furqan dan idea asal untuk hasilkan lagu Nusaibah ini dicetuskan oleh Ustaz Mohd. Izat.

Menurut Fawwaz, Ustaz Mohd. Izat atau nama penanya, UMI merupakan guru disiplinnya sewaktu belajar di sekolah Tahfiz Al-Furqan dan idea asal untuk hasilkan lagu Nusaibah ini dicetuskan oleh Ustaz Mohd. Izat.

“Sebenarnya lirik lagu ini dibuat oleh Ustaz Izat iaitu guru disiplin saya sewaktu bersekolah Tahfiz dulu. Ustaz Izat dulu mengajar di sekolah ayah saya di Al- Furqan waktu saya berusia 12 tahun… dia guru disiplin saya. Bila dah besar, saya berjumpa semula dengan Ustaz Izat.

“Kami bertemu semula atas usaha ayah saya yang merupakan seorang Pengetua Tahfiz Darul Furqan atau Mudir, dan dia adalah guru kepada Ustaz Izat. Setiap hari ayah tengok saya sering menyanyi di rumah, dia kata saya kena buat lagu sendiri. Jangan nyanyi kosong dan sebab itu dia hubungi Ustaz Izat, minta buatkan lirik lagu untuk saya.

“Ustaz menghantar mesej WhatsApp dan bagi lirik, kemudian saya pun buat melodi dengan gaya tarannum Jiharkah. Asalnya saya tak ambil serius sangat untuk jadikan lagu Nusaibah ini komersial hingga perlu buat promosi dan video muzik.

“Bagi saya cukup untuk kepuasan diri tapi siapa sangka rezeki, lagu ini boleh diketengahkan,” katanya.

Fawwaz yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Al-Quran dan Qiraat dari Universti Al-Azhar, Mesir itu menjelaskan, dia memilih untuk mengangkat cerita Nusaibah kerana wanita itu merupakan seorang Mujahidah (pejuang wanita) yang pernah mengikuti beberapa siri peperangan bersama Rasulullah SAW dan berharap kisah hidup Nusaibah ini boleh dijadikan teladan kepada wanita lain.

“Nusaibah ini bukan calang-calang tokoh. Dia adalah wanita Islam yang 100 peratus hidupnya untuk Islam. Dia bukan saja sanggup mengorbankan dirinya dalam peperangan, bahkan dia turut peratruhkan anak-anaknya juga. Dia tidak membiarkan anak-anaknya duduk di rumah, sebaliknya memberi galakkan untuk keluar berperang.

“Kita pula sekarang ini, ada sesetengah ibu bapa terlalu sayangkan anak sehingga tidak mahu anak-anak mereka ‘diusik’. Jika ada orang yang berani sentuh (tegur) anak orang lain, silap hari bulan kena saman. Tapi lain caranya dengan didikan Nusaibah, dia biarkan anak-anak pergi berperang, biar mati syahid.

“Cuma sedikit sedih tentang Nusaibah ini, dia nak sangat mati syahid sampai dia sertai peperangan, dia lindung Nabi masa perang Uhud, terputus tangannya, badannya penuh dengan birat kena pedang untuk melindungi Nabi. Tapi dia sendiri tak dapat mati syahid dalam perang. Dia dapat syahid yang lain,” jelas Fawwaz tentang kehebatan Sayyidatina Nusaibah binti Kaab al-Ansari sehingga diberikan gelaran Ummu Imarah.

Memandangkan agak lama tidak melakukan aktiviti rakaman di studio, Fawwaz akui pada awalnya, dia agak resah untuk mendapatkan ‘feel’. Namun dengan kerjasama yang baik daripada jururakam iaitu Amin Nordin serta sokongan penerbit iaitu Brosyam, rakaman lagu Nusaibah dapat disiapkan dalam tempoh dua hari saja.

Kata Fawwaz, untuk video muzik tersebut, pelakon Wan Nor Azlin yang berpengalaman dalam bidang lakonan itu diberi tanggungjawab untuk melakonkan watak Nusaibah.

“Kita akan tampilkan jalan cerita hampir sama dengan kisah asal, mengikut lirik. Kita cuba masuk dalam cerita Nusaibah yang ada dalam sejarah.

“Kita masukkan babak bagaimana Nusaibah di medan perang Uhud, begitu gagah membunuh tentera kafir dan bagaimana dia terputus tangan, pun kita cerita. Pelakon yang melakonkan watak Nusaibah sangat bagus lakonannya. Kalau orang tengok mesti terkesan dengan cerita Nusaibah,” jelasnya yang cukup meminati penyanyi Maher Zain.

Fawwaz yang pernah tampil dengan lagu Lembaran Juzuk Cinta bersama Halim Ahmad sebelum menyertai kumpulan Zayne berkata, seandainya ada lagi tawaran untuknya menjayakan projek solo, dia tidak akan menolak.

“Sebelum tertubuhnya Zayne, saya memang aktif di Instagram sebagai penyanyi solo dan ada single berjudul Lembaran Juzuk Cinta duet bersama Halim Ahmad. Hingga kini lagu itu telah mendapat lebih 1 juta tontonan di YouTube.

“Malah sebelum menyertai Zayne, saya ada menyetrtai beberapa kumpulan nasyid selain pernah menyanyi dengan Rabbani. Masa itu, arwah ustaz Asri ada lagi sebab anaknya belajar sama dengan saya.

“Masa kecil, saya bersama kawan-kawan menubuhkan kumpulan Furqan Junior dan ketika menyambut pengajian di Mesir, saya ada kumpulan juga tapi bukan jadi penyanyi sebaliknya sebagai pemain gitar,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Anak ketiga daripada enam beradik yang merupakan tenaga pengajar di Tahfiz Darul Furqan, Gombak, itu bakal bergelar ayah kerana isteri kesayangan, Haziraton Najihah dijangka melahirkan anak sulung mereka pada November ini.

Beliau yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia 13 tahun, sering menggunakan kelebihannya itu untuk mengajar al-Quran dalam bidang seni iaitu taranum di Bigo Live, Instagram Live dan sering memuat naik perkongsian bertarannum di media sosial.

Lagu Nusaibah, edaran Saudagar Seni itu juga boleh didengari di seluruh digital platform muzik antaranya, Spotify, Joox, Apple Music, KKBox dan Deezer.