HASRAT pasukan muda badminton negara mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir Piala Sudirman 2021 tidak kesampaian apabila sekali tewas di tangan Jepun di saingan separuh akhir malam tadi.

Skuad kebangsaan mempamerkan persembahan terpuji namun terpaksa akur dengan kehebatan pasukan ranking kedua dunia itu dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan berlangsung di Energia Arena, Vantaa, Finland.

Pasukan negara yang tampil dengan barisan pemain sama semasa menundukkan musuh ketat, Indonesia di suku akhir, kelmarin tidak mampu menghalang kemaraan negara Matahari Terbit itu.

Malaysia sebelum ini juga ditewaskan Jepun 1-4 dalam saingan peringkat Kumpulan D.

Jepun mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Taiwan, 3-1.

Bagaimanapun, edisi kali ini tetap menjadi pencapaian terbaik pasukan negara mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir sewaktu edisi di Guangzhou, China pada tahun 2009.

Malaysia ketika itu tewas kepada tuan rumah dengan keputusan 0-3.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya menewaskan pilihan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo kelmarin tidak dapat mengulangi kecemerlangan itu malam tadi.

Gandingan beregu harapan negara itu melakukan banyak kesilapan mudah sebelum tewas straight set kepada pasangan nombor 16 dunia, Takuro Hoki-Yuko Kobayashi 21-15, 21-14.

Beregu Jepun itu berjaya membalas dendam selepas tewas dalam saingan peringkat kumpulan 22-20, 14-21, 21-16 sebelum ini.

PEARLY Tan (kanan) dan M. Thinaah menampilkan persembahan bertenaga sebelum tumpas kepada pasangan Jepun yang lebih berpengalaman.

Baca artikel berkaitan: Piala Sudirman : Malaysia mara ke separuh akhir, Jepun menanti

Dalam perlawanan berikutnya, pemain perseorangan wanita negara, S. Kisona yang memberikan persembahan menakjubkan sewaktu tewas pemain nombor 21 dunia Gregoria Mariska Tunjung dengan 22-20, 18-21, 21-19 dalam masa 67 minit, kelmarin juga tidak dapat menyumbang mata buat pasukan negara.

Kepenatan jelas terpancar apabila Kisona seolah-olah tidak mampu melawan apabila tewas kepada pilihan kelima dunia, Akane Yamaguchi 21-7, 21-5.

Bintang perseorangan negara, Lee Zii Jia meneruskan rentak hebat dalam saingan Piala Sudirman kali ini selepas berjaya memberikan mata harapan buat Malaysia apabila menewaskan Kento Momota dengan keputusan straight set, 22-20, 21-19.

Zii Jia yang tampil selaku kapten pasukan mempamerkan semangat juang tinggi menumbangkan pemain nombor satu dunia itu walaupun Momota memberikan tentangan sengit.

Namun begitu, harapan Malaysia memperoleh mata penyamaan dan membawa ke perlawanan penentuan tidak kesampaian selepas beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah menampilkan persembahan bertenaga sebelum tewas.

Pasangan muda negara itu tewas kepada pilihan ketiga dunia, Mayu Matsumoto-Misaki Matsumoto 19-21, 17-21 dalam tempoh 55 minit.

Walaupun disekat di peringkat separuh akhir, namun skuad negara telah melepasi sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mara ke suku akhir.

Perjuangan Malaysia akan diteruskan dalam edisi berprestij Piala Thomas dan Piala Uber 2021 yang diadakan di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober ini.

Skuad Piala Thomas diletakkan dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada manakala saingan Piala Uber pula bakal menyaksikan skuad negara menentang China, Denmark serta Kanada juga dalam Kumpulan D.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram