KALAU sebut filem Final Destination, pasti ramai yang tahu siri filem ini. Walau bagaimana cuba menghindar, namun maut tetap mengejar mereka dan tidak akan berhenti selagi mangsa itu tidak menemui ajal.

Tahukah anda, banyak juga kejadian sebenar yang berlaku seperti digambarkan dalam filem itu. Terselamat daripada kejadian yang boleh membawa maut bukan bererti akan selamat. Ini antara beberapa kisahnya…

  • Pada 13 Disember 1977, pasukan bola keranjang sebuah universiti di daerah Evansville di Indiana, Amerika Syarikat menaiki penerbangan Air Indiana Flight 216 untuk menghadiri satu perlawanan. Penerbangan itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Nashville.

Namun, baru saja berlepas di udara, pesawat itu hilang kawalan lalu terhempas dan merenggut nyawa 29 orang penumpang. Kesemua ahli pasukan bola keranjang itu turut terkorban, kecuali seorang iaitu David Furr. Pemuda itu terselamat kerana dia tertinggal penerbangan tersebut.

Walaupun selamat, bukan bermakna maut tidak mengejarnya. Hanya dua minggu selepas insiden pesawat yang sepatutnya dinaiki terhempas, David dan abangnya telah terlibat dalam kemalangan apabila dua beradik itu dilanggar oleh pemandu lori yang mabuk.

Kematian David melengkapkan keseluruhan pasukan bola keranjang itu yang kesemuanya mati dalam tragedi menyayat hati.

David terselamat dari pesawat yang terhempas namun dua minggu kemudian dia maut dalam kemalangan.
  • Berlainan kisah pada pagi Sabtu, 6 Julai 2013. Penerbangan Asiana Airlines Flight 214 berlepas dari lapangan terbang Incheon, Korea Selatan, membawa 307 orang penumpang termasuk kru menuju ke San Francisco.

Ye Meng Yuan, pelajar dari China yang baru seminggu menyambut ulang tahun ke-16. Dia salah seorang dari 30 orang pelajar sekolah dari daerah Zheijang di China yang menaiki penerbangan itu untuk menghadiri program perkhemahan musim panas selama 15 hari di California.

Semasa hendak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, pesawat itu terhempas dan terbakar. Meng Yuan tercampak dari pesawat yang sedang terbakar. Dia tergolek di atas landasan. Koroner yang datang memeriksanya ketika itu mengesahkan Meng Yuan masih hidup.

Namun, ia tidak lama. Ketika keadaan sedang hiruk pikuk di tempat kejadian, datang truk pemadam kebakaran yang hendak memadam api yang sedang menjilat pesawat.

Truk itu tidak perasan Meng Yuan yang tergolek di atas jalan lalu tanpa sengaja melanggar gadis itu menyebabkan Meng Yuan mati di tempat kejadian. Rupa-rupanya maut tetap mahu menjemput gadis itu pada hari itu juga.

Truk itu tidak perasan Meng Yuan yang tergolek di atas jalan lalu tanpa sengaja melanggar gadis itu menyebabkan Meng Yuan mati di tempat kejadian. Rupa-rupanya maut tetap mahu menjemput gadis itu pada hari itu juga.

Meng Yuan yang asalnya masih hidup selepas pesawat terhempas akhirnya mati apabila dilanggar truk pemadam kebakaran.

  • Ini pula kejadian pada 20 Julai 2012. Ketika itu berlangsung tayangan perdana filem ‘Batman – The Dark Night Rises‘ di sebuah panggung wayang di Colorado, Amerika Syarikat.
  • Namun, baru 15 minit filem itu diputar, tiba-tiba muncul serang lelaki bertopeng yang membawa pistol lalu melepaskan tembakan secara rawak kepada penonton di dalam panggung. Lebih 70 orang cedera dalam insiden itu, 12 daripadanya meninggal dunia.

    Salah seorang yang terkorban dalam insiden itu ialah pengulas sukan dari Texas, Jessica Redfield. Sebulan sebelum terkorban, gadis ini terselamat dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Toronto.

    Waktu itu, dia sedang makan apabila seorang lelaki masuk ke medan selera itu dan melepaskan tembakan yang meragut nyawa seorang mangsa. Rupa-rupanya, peluru masih berdendam untuk mengakhiri riwayat gadis itu.

    Jessica Redfield yang terselamat dalam kejadian tembakan di pusat beli belah akhirnya mati ditembak di dalam panggung wayang.
    • Berbeza pula sewaktu bangunan berkembar World Trade Center di New York runtuh pada 11 September 2001. Ketika itu, Hilda Yolanda berjaya melarikan diri daripada sebuah restoran tempat dia bekerja di kompleks tersebut. Wanita berusia 26 tahun itu bertuah kerana berjaya menyelamatkan diri daripada insiden yang meruntuhkan bangunan tersebut.

    Namun, tuahnya tidak lama. Dua bulan selepas insiden itu, dia terkorban dalam insiden pesawat American Airlines Flight 587 yang terhempas dan mengorbankan kesemua penumpang termasuk anak kapal seramai 260 orang.

    Hilda menaiki pesawat itu dari Lapangan Terbang John F. Kennedy di New York untuk pulang bercuti ke kampung halamannya di Republik Dominic.

    Hilda Yolanda selamat dari runtuhan bangunan tetapi terkorban dalam pesawat yang terhempas.
    • Lain pula kisah pada awal pagi 27 Januari 2013, di mana ratusan pengunjung sebuah kelab malam di Santa Maria, Brazil, sedang rancak berpesta. Tiba-tiba, berlaku letupan dan kelab malam itu mula terbakar.

    Api dikatakan berpunca daripada bunga api yang dinyalakan oleh kumpulan muzik yang sedang membuat persembahan di pentas. Insiden itu mengorbankan 242 nyawa dan lebih 600 orang cedera.

    Gadis muda, Jessica de Lima Rohl,21, mulanya menarik nafas lega. Dia hampir pergi ke kelab itu untuk menghadiri pesta anjuran pelajar universiti. Namun, di saat akhir dia membatalkan niatnya apabila teman lelakinya menyuruhnya duduk di rumah pada malam kejadian.

    Sayangnya, maut tetap tidak melupakannya. Lima hari selepas insiden kelab malam itu, Jessica dan teman lelakinya terkorban apabila kereta yang mereka naiki dilanggar sebuah trak.

    Jessica selamat dari kelab yang terbakar, tetapi tidak lama kemudian mati dalam kemalangan.

    *Lain pula insiden yang menimpa suami isteri yang suka melancong ini. Pada 1 Jun 2009, sepatutnya warga Itali, Johanna Ganthaler dan suaminya, Kurt menaiki penerbangan Air France Flight 447 dari Brazil menuju ke Paris.

    Namun, pasangan suami isteri itu terlambat tiba di lapangan terbang menyebabkan mereka tertinggal penerbangan itu. Nasib mereka baik kerana pesawat yang sepatutnya mereka naiki terhempas di lautan Atlantik, mengorbankan kesemua penumpang berjumlah 228 orang.

    Dua minggu kemudian, suami isteri ini melancong ke Austria. Semasa memandu di daerah Kufstein, kereta mereka terbabas masuk ke arah bertentangan dan dirempuh sebuah trak. Kemalangan itu merenggut nyawa Johanna manakala suaminya mengalami luka parah.

    Johanna selamat dari tragedi pesawat tetapi menemui ajal dalam kemalangan kereta.
    • Manakala kisah Elzie Bud Warren,70, dan anak perempuannya, Phyllis Jean Ridings,52, berbeza tapi pengakhirannya tetap sama. Pada tahun 2007, dua beranak ini menerbangkan sebuah pesawat kecil buatan sendiri.

    Mereka terpaksa melakukan pendaratan kecemasan apabila enjin pesawat itu terbakar. Kejadian itu hampir meragut nyawa mereka. Mujur kedua-duanya selamat. Namun, ia hanya bertahan untuk tempoh empat tahun.

    Pada Mei 2011, dua beranak itu melakukan penerbangan untuk sebuah pertunjukan udara di Temple, Texas. Namun, baru beberapa minit berlepas, pesawat mereka terhempas dan meletup di kawasan hutan. Kedua-dua beranak itu terkorban.

    Terselamat dalam tragedi pertama, namun nyawa Elzie melayang juga dalam tragedi pesawat ketika melakukan penerbangan.

    Kisah di atas hanya sebahagian daripada pelbagai kes yang diibaratkan seperti filem Final Destination. Mungkin saja ia kebetulan. Yang pasti, soal ajal dan maut itu adalah takdir Tuhan yang ada kalanya tidak dapat kita elakkan. 

    Siri filem Final Destination.

    __________

    Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

    Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

    Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

    Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

    #utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam