WALAUPUN dilahirkan sebagai autisme, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun berjaya mencatatkan namanya dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila mengenalpasti 198 bendera negara dalam tempoh 9 minit 54 saat.
Kanak-kanak itu, K. Rashwin berjaya melakukan rekod itu beberapa minggu lalu melalui aplikasi sosial, Zoom sambil disaksikan panel daripada MBOR.
Perunding Kanan Rekod MBOR, Edwin Yeoh berkata, pencapaian Rashwin itu sekali gus mengatasi rekod seorang kanak-kanak normal berusia 5 tahun yang mengenalpasti 147 bendera negara di seluruh dunia dalam masa 15 minit, awal tahun ini.
Menurutnya, melengkapkan cabaran itu dalam 9 minit 54 saat sangat memberangsangkan kerana Rashwin adalah kanak-kanak autisme.
“Kebiasaannya, ‘attention spend’ kanak-kanak autism sangat sedikit berbanding kanak-kanak normal dan fokus mereka kepada sesuatu perkara amat sekejap.
“Kami amat berbesar hati kerana menyaksikan rekod dibuatnya, saya berharap ini mendorong keluarga yang mempunyai anak autism lain,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil MBOR kepada keluarga Rashwin di Akademi Headstart, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
Yang turut hadir, ibu bapa Rashwin iaitu S Kalithas, 40, dan B Krishnarani, 36.
Dalam pada itu, Krishnarani berkata, dia mula menyedari kemampuan anak bongsunya mengenali bendera negara selepas membaca buku kamus bergambar milik abang sulungnya.
Ujarnya, Rashwin yang pada ketika itu berusia dua tahun setengah bukan sahaja dapat memadankan bendera dan negara, malah dia mengenali negara pada peta dunia.
“Sejak itu, kami membeli pelbagai bahan bersesuaian termasuk beberapa buku, peta glob serta ‘flash card’ bagi memupuk minat Rashwin,” katanya.
Menurutnya, mereka sangat menggalakkan minat anaknya sehingga cuba menghubungi pihak MBOR.
Katanya, mereka membantu Rashwin membuat latihan tetapi agak berdebar apabila kanak-kanak itu tidak mahu berlatih sehari sebelum hari mencatatkan rekod berlangsung.
“Sehari sebelum acara itu, dia tidak mahu berlatih…jadi kami amat bimbang.
“Tetapi pada hari berkenaan, Rashwin memberikan kejutan besar apabila meneka 198 negara dalam tempoh 9 minit dan 54 saat. Kami sangat berbangga dengan rekod dicatatkan itu,” katanya.