PENYANYI rap Caprice berdepan detik cemas apabila dia secara tiba-tiba mengalami sakit dada dan terpaksa dikejarkan ke hospital di ibu negara, hari ini.

Caprice atau Ariz Ramli,33, pada mulanya menyangka dirinya terkena serangan jantung dan bahagian kanan badannya tidak dapat bergerak.

“Saya bangun tidur pagi in dengan rasa sakit dada yang agak teruk. Sakit yang berbeza daripada apa yang pernah saya alami ketika berada di Jordan dan di Kuala Lumpur sebelum ini.

“Bahagian kanan badan saya seperti diserang strok atau serangan jantung. Saya panik dan terus menghubungi ambulan biarpun ketika itu saya tidak dapat bercakap dengan betul.

“Alhamdulillah, mereka (pihak perubatan) sampai tepat pada waktunya,” katanya.

Menurut Caprice, hasil ujian darah yang dilakukan oleh doktor perubatan, dia mengalami tanda awal penyakit Hipertiroid.

Jelasnya, dia berharap masalah kesihatan yang sedang dialaminya itu akan segera sembuh dengan pengambilan ubat-ubatan tanpa perlu menjalani pembedahan.

“Keputusan darah dan hasil imbasan, saya diberitahu saya mempunyai tanda awal penyakit Hipertiroid.

“Saya tidak boleh lama di sini (hospital) kerana saya banyak kerja yang nak kena selesaikan,” katanya menerusi beberapa hantaran video di Insta Story miliknya.