Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - GAMBAR: Abd Razak Aid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak mengapa bagi beliau kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai oleh partinya berikutan penarikan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua daripada UMNO.

Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya Dewan Undangan Neger (DUN)i dibubarkan dan pilihan raya baharu diadakan.

“Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri dikuasai parti saya. Tapi tunggulah saya fikir elok diadakan pilihan raya negeri supaya DUN Melaka dibubarkan.

“Kita beri mandat semula kepada rakyat untuk pilih mana kerajaan terbaik mentadbir negeri dan negara kita, insya-Allah,” katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mandat seeloknya diserahkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu bagi Melaka berikutan krisis politik yang berlaku di negeri itu.

Empat ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini diwakili 17 Adun yang terdiri daripada 14 (UMNO), dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh (DAP), dua (PKR) dan dua (Amanah).

Beikutan penarikan sokongan empat ADUN itu kerajaan kepimpinan Sulaiman kini mempunyai sekadar 13 kerusi daripada 28 kerusi DUN, secara teknikal beliau kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri untuk terus menerajui kerajaan Melaka. – BERNAMA