Lars Vilk

SEORANG kartunis Sweden yang melukis gambar Nabi Muhammad SAW pada badan seekor anjing sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya malam tadi.

BBC melaporkan, Lars Vilk dilapor menaiki sebuah kenderaan polis sebelum bertembung dengan sebuah trak berhampiran pekan Markaryd, selatan Sweden.

Dua pegawai polis turut maut dalam kemalangan itu manakala pemandu trak cedera.

Vilks,75, hidup di bawah perlindungan polis selepas menerima ugutan bunuh berhubung lukisan kartun itu.

Kartun itu yang dihasilkan pada 2007 menyinggung umat Islam seluruh dunia yang menganggap ia sebagai menghina agama berkenaan.

Polis tidak mendedahkan identiti mereka yang maut dalam insiden itu namun rakan Vilks mengesahkan kematian kartunis itukepada akhbar Dagens Nyheter.

Sementara itu, satu kenyataan polis Sweden berkata, masih tidak jelas bagaimana kemalangan tersebut berlaku namun menolak pembabitan pihak lain.

Karikatur itu yang mencetuskan kemarahan global memaksa Perdana Menteri Sweden pada ketika itu, Fredrik Reinfeldt, bertemu duta besar dari 22 negara Islam dalam usaha meredakan keadaan.

Pengganas Al-Qaeda di Iraq juga menawarkan ganjaran AS$100,000 (RM417,000) bagi pembunuhannya.

Pada 2015, Vilks menghadiri perdebatan mengenai kebebasan bersuara yang menjadi sasaran serangan senjata api di Copenhagen yang mengakibatkan seorang pengarah filem maut.