NADEERA Zaini, juara program realiti Lagu Cinta Kita musim kedua kini lahir dengan single terbaharu berjudul Panah yang mula dilancarkan pada 1 Oktober lalu.

Ini merupakan single keempat buat Nadeera dan gubahan lirik adalah daripada Fedtri Yahya dan dirinya sendiri serta sentuhan komposer terkenal tanah air iaitu Sharon Paul.

Nadeera memulakan langkah pertamanya dalam industri muzik dan hiburan ini melalui rancangan realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa Musim kedua pada 2012 dan pernah menyertai Mentor Legend pada 2014, dia merupakan protégé kepada Datuk Zainal Abidin.

Atas usaha keras dan semangat yang tidak pernah berputus asa, nasib kian menyebelahi dirinya apabila berjaya mara ke final dan memenangi program Lagu Cinta Kita bersama pasangan duet Khareez Kasbullah.

Seperti yang dikatakan oleh Colin Powell, “Tidak ada rahsia untuk berjaya. Ini adalah hasil dari usaha kerja keras dan belajar dari kegagalan.” Lagu Panah akhirnya terpilih menjadi salah satu lagu runut bunyi (OST) untuk drama Kisah Cinta Kita hasil karya A.Aida Production menerusi slot Akasia di TV3, November hadapan.

“Panah mengisahkan tentang seorang gadis dipermainkan oleh teman lelakinya dan membuatkannya patah hati! Bak kata pepatah, cinta sejati dilihat dalam tindakan bukan hanya melalui kata-kata.

“Dalam korus tersebut menyatakan bahawa dia menyedari itu adalah cinta palsu dan tidak mahu terus hanyut dalam jerat percintaan lagi,” kata Nadeera.

Panah edaran Werkit Records dan Alternate Records ini turut dilancarkan di semua platform digital secara serentak di Spotify, Apple Music, Itunes, KKBOX, Deezer, Joox dan Youtube Music. Lirik Video Rasmi Panah juga boleh di tonton di laman Youtube Alternate Records & Talents.