KECANTIKAN cukup sinonim dengan kaum wanita sehingga ada yang sanggup berhabis wang ringgit untuk memenuhi keinginan diri. Pelbagai cara dilakukan sama ada secara kaedah tradisional mahupun moden. Tetapi tahukah anda, di sebalik keinginan untuk menjadi cantik, terdapat juga beberapa jenis cara yang menggunakan teknik aneh dan pelik?

Boleh dikatakan setiap negara di dunia ini mempunyai pelbagai teknik mahupun cara tersendiri untuk cantik bergantung pada pegangan, tradisi dan kepercayaan masing-masing. Di Amerika Syarikat dan Korea Selatan misalnya, banyak klinik kecantikan di sana menggunakan binatang daripada jenis moluska- binatang yang berkerang, iaitu siput sebagai bahan utamanya.

Kebanyakan pusat-pusat kecantikan di sana menggunakan ekstrak semula jadi siput iaitu lendirnya untuk mencantikkan kulit. Lendir siput dipercayai mempercepatkan proses penyembuhan luka di kulit dan mengelakkan jangkitan kuman. Selain itu, rembesan lendir siput itu mampu menghalang pancaran sinar ultraungu (UV). Ia juga dapat menghapuskan sel-sel mati dan kemudian menjana semula kulit tersebut.

Manakala beberapa pusat kecantikan di Krasnoyarsk, Seberia, Rusia lain pula ceritanya. Masih menggunakan siput sebagai bahan utama tetapi menggunakan kaedah yang berbeza. Para pelanggan yang ingin mendapatkan rawatan kecantikan di klinik tersebut hanya perlu baring sahaja. Kemudian, petugas klinik akan meletakkan beberapa ekor siput yang masih bernyawa ke atas muka pelanggan.

Pengamal kecantikan di sana percaya lendir yang dikeluarkan oleh siput-siput itu semasa pergerakan mereka akan mengeluarkan lendir yang baik untuk kulit. Kebanyakan spa di sana menggunakan siput dari Afrika yang mempunyai saiz yang lebih besar dan lendir yang dikeluarkan oleh siput-siput itu kaya dengan garam glikogen dan elastin iaitu sejenis protein yang dipercayai boleh mengurangkan kedutan dan tanda-tanda penuaan.

Idea tersebut diolah daripada petua zaman purba Greek, iaitu melalui seorang pakar perubatan terkenal Yunani, Hippocrates, yang menggunakan siput serta lendir-lendirnya untuk merawat masalah keradangan kulit. Hippocrates dikatakan akan menghancurkan siput-siput itu kemudian mencampurkannya dengan sedikit susu masam lalu disapukan ke bahagian kulit yang bermasalah. Beliau terkenal sebagai salah seorang pengamal perubatan yang mempercayai perubatan sebagai satu cabang sains.