Prof Datuk Dr Hasan Mad

OLEH: DATUK DR. HASAN MAD

Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyambut baik hasrat kerajaan menstruktur semula strategi dan pelan tindakan berkaitan pemilikan ekuiti bumiputera. Perkara ini digariskan dalam dokumen RMK-12 (Bab 5, Perkara 5-28-Pemerkasaan Agenda Bumiputera).

Sayugia diimbas kembali, dalam usaha kerajaan membasmi kemiskinan dan menguncupkan jurang sosio ekonomi masyarakat majmuk di negara ini seperti mana yang digariskan dalam DEB 1970, tiga teras utama dasar itu bagi menangani kedua-dua isu tersebut ialah melalui:

● Pewujudan peluang pekerjaan,
● Pewujudan peluang bisnes, dan
● Pewujudan peluang pemilikan ekuiti secara adil dan saksama.

Berkaitan dengan teras pewujudan peluang pemilikan ekuiti, sejak awal pelancaran dasar itu, pemilikan ekuiti bumiputera telah disasarkan pada kadar 30 peratus nilai pasaran ekuiti korporat semasa.

Dengan mengambilkira bahawa agihan pegangan ekuiti sama rata di antara bumiputera dan bukan bumiputera serta menggalakkan kemasukan modal asing ke dalam pasaran modal negara, sekalipun penduduk bumiputera sekitar 67 peratus, mereka akur dengan agihan ekuiti korporat itu pada paras minimum 30 peratus, berbanding bukan bumiputera seramai sekitar 32 peratus untuk memiliki ekuiti korporat juga sekitar 30 peratus, manakala pegangan oleh pelabur asing disasarkan sekitar 40 peratus..

Bagi mencapai hasrat itu, beberapa tindakan terancang dilaksanakan kerajaan, terutamanya:

5.1​ Perlaksanaan Dasar Penswastaan.
Di pertengahan tahun 1980-an kerajaan melaksanakan dasar ini yang mana entiti dan individu bumiputera digalakkan mengambil alih entiti bisnes dikuasai PEA (Public Enterprise Agencies) melalui pelbagai kaedah penswastaan. Dasar ini tidak diteruskan selepas beberapa tahun disebabkan berlaku banyak salah guna peluang yang diberikan kepada bumiputera kerana ramai darpada mereka kemudiannya menjual pegangannya ke pasaran terbuka, maka hasrat peningkatan pegangan ekuti bumipuetra menerusi dasar ini dianggap gagal.

Baca artikel berkaitan: Kerangka jaringan keselamatan ekuiti bumiputera tidak libat hak kaum lain – Mustapa

5.2 Perlaksanaan Skim Pemilikan Ekuiti Korporat Penyenaraian Baharu
Ini satu lagi usaha kerajaan galakkan pemilikan ekuiti dalam kalangan bumiputera. Usaha ini adalah murni, namun ia juga gagal disebabkan ramai bumiputera yang diberikan peluang itu melepaskan pegangan masing-masing ke pasaran terbuka, atas beberapa alasan. Pada masa yang sama , kerajaan juga tidak merangka bumiputera Safety-net Mechanism bagi “menyelamatkan” ekuiti milik bumiputera yang hendak dilepaskan itu.

5.3 Kempen Pemilikan Ekuiti @ Pasaran Modal
Walaupun kerajaan berjaya melahirkan banyak firma broker saham bumiputera, namun peranan mereka kurang signifikan dalam menarik minat pelabur runcit bumiputera memilki ekuiti korporat di Bursa Malaysia, apatah lagi di bursa-bursa global utama.

Disebabkan kelemahan itu, ekuiti korporat bumiputera tidak berkembang malah terus menguncup, gagal mencapai sasarannya. Perangkaan yang dipaparkan bagi pasaran modal @ Bursa Malaysia 2019 dengan nilai pasaran semasa berjumlah RM1817 bilion, di dalam 936 syarikat tersenarai (100 Papan Utama dan 836 Lain-lain) adalah:

Bermakna, dalam tahun 2019 itu sasaran pemilikan ekuiti korporat bumiputera tersasar kurang sebanyak 12.8 peratus bersamaan RM 232.58 bilion. Ia adalah satu angka yang amat besar dan wajib ditangani segera, jika tidak, jurang sosio ekonomi akan kekal lebar.

Hasrat kerajaan seperti mana Perkara 5 di atas adalah murni, tetapi perlaksanaannya banyak yang cacat kerana kuasa pegangan ekuiti korporat bumiputera masih lemah, atas sebab:

● Nafsu untuk menjual pegangan ekuiti kerana dorongan harga menarik; atau
● Kejatuhan nilan pasaran modal dalam syarikat tersenarai milik atau dikuasai bumiputera, atau
● Desakan melepaskan pegangan ekuiti disebabkan keperluan kewangan; atau
● Tekanan melepaskan pegangan ekuiti disebabkan kejatuhan harga dan kepayahan melunaskan pinjaman bank kerana pemilikan ekuiti itu menggunakan dana pinjaman bank, atau
● Hilang minat dalam pelaburan pasaran modal

Mengambilkira punca permasalahan yang pelbagai itu MPM pernah menyarankan:

● Bagi mengekalkan peratus pegangan ekuiti yang dimiliki bumiputera, kerajaan tubuhkan Bumiputera Equity Safety-net Agency, berfungsi untuk mengambilalih ekuiti bumiputera yang hendak dilupuskan, pada harga pasaran semasa dan dijual atau dipindah milik hanya kepada entiti atau individu bumiputera, agar ekuiti itu kekal dalam pasaran dan di tangan bumiputera;
● Penguasaan lebih banyak syarikat tersenarai oleh entiti bumiputera, dan
● Penyenaraian lebih banyak mid-tiers corporations milik bumiputera.

Semasa sesi dialog antara MPM dengan MARA dan KPLB pada 24 Jun 2021, atas inisiatif Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu, MPM sarankan di antara bisnes teras MARA Corp ialah:

● Berperanan sebagai Bumiputera Safet-net Agency, bagi memegang ekuiti korporat milik bumiputera yang hendak dilupuskan, atas apa juga alasan;
● Menguasai beberapa PLC yang strategik; dan
● Menyenaraikan beberapa bumiputera mid-tier corporations.

Semasa Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kerajaan-MPM Keempat, Bil. 3/2021 pada 27 Jun 2021, saranan MPM kepada MARA itu dibentangkan dengan harapan ia dapat diambil tindakan oleh kerajaan.

Alhamdulillah, impian MPM itu dimakbulkan apabila inisiatif ini dimuatkan ke dalam RMK-12.

Bagi maksud itu MPM mengambil kesempatan ini mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kerajaan terutamanya BEQT @ EPU dan Perdana Menteri, kerana memberikan respons positif kepada saranan MPM itu.

DEB 1970 telah berusia lebih 50 tahun. Teras DEB berkaitan pemilikan ekuiti bumiputera, bagi menguncupkan jurang pemisahan sosio ekonomi, masih tersasar jauh. Bagaimana mungkin Malaysia mampu menjadi negara makmur dan nawaitu Keluarga Malaysia dapat dicapai andai kata jurang sosio ekonomi, masih lebar. Kemakmuran, Pembangunan Inklusif dan Mampan hanya bermakna apabila semua aspek kemakmuran dirasai secara adil dan saksama oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan etnik, wilayah, agama, atau di antara bandar dan luar bandar. Hendaknya tiada mana-mana pihak yang salah tafsir slogan Kerajaan Keluarga Malaysia ini.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram