Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang mengkhianati Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali perlu bersiap sedia menerima surat pemecatan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, taat setia mana-mana wakil rakyat tidak kira ADUN atau Ahli Parlimen mestilah kepada parti.

Kata beliau, tiga orang Exco Kerajaan Negeri yang telah hilang kepercayaan kepada Sulaiman tidak sewajarnya lagi berada dalam pentadbiran kerajaan sementara atau caretaker.

Beliau memaklumkan, kerajaan sementara pimpinan Sulaiman akan mentadbir Melaka sehingga ada keputusan mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bagi ADUN dari BN dan UMNO yang mengkhianati kerajaan dipimpin BN Melaka, saya harap mereka bersedia menerima tindakan daripada parti bagi menerima surat pemecatan.

“Saya merasakan bahawa persoalan utama bagaimana berlaku di peringkat nasional dan juga di beberapa negeri, kesetiaan wakil rakyat sama ada ADUN dan Ahli Parlimen hendaklah berfokus kepada parti terutama jika kerajaan itu dinakhodai UMNO dan BN,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Baca artikel berkaitan: Jika PRN Melaka diadakan, SPR akan laksana SOP ketat – PM

Perikatan Nasional Melaka akan sertai PRN, terbuka jika UMNO sedia bekerjasama

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, masih terlalu awal untuk membicarakan soal calon dalam PRN Melaka kerana ia lebih sesuai dibincangkan apabila SPR membuat ketetapan.

Pada masa sama, katanya, UMNO dan BN mungkin akan menampilkan calon muka baharu yang memberi harapan untuk diketengahkan.

“Pada hemat saya, terlalu awal untuk kita memuktamadkan calon jika ada PRN, namun kita tidak boleh menyekat usaha untuk mengenal pasti bakal calon yang akan diketengahkan oleh BN dan UMNO.

“Pegangan saya, muka baharu yang memberi harapan baharu dan menggamit kepercayaan pengundi harus diketengahkan untuk memperlihatkan kelainan dalam PRN Melaka kali ini,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram