ASTON Chua Yee-Shen (kiri) bersama tenaga utama syarikat.

HOMETASTE, platform perkhidmatan penghantaran makanan masakan rumah berjaya mengumpul dana sebanyak RM2,310,317.  Syarikat berjaya menarik keyakinan 89 pelabur melalui platform Ekuiti Pendanaan Ramai (ECF) terkemuka di Malaysia dengan mencatatkan nilai pelaburan individu tertinggi sebanyak RM802,386 (AS$192,000).

Ditubuhkan empat tahun lalu, Homestaste kini berjaya mengembangkan pasaran di Malaysia dengan mempunyai 15,000 pelanggan dan telah menyampaikan lebih daripada 18,000 pesanan resipi masakan rumah setiap bulan. Setelah menyampaikan lebih 500,000 pesanan makanan, syarikat itu telah membuktikan kejayaan model perniagaan mereka dengan mencatatkan kenaikan pendapatan 15 kali ganda setiap tahun sejak ditubuhkan. 

Hometaste kini telah mengembangkan perkhidmatannya, membuka potensi penuh pasaran resipi masakan rumah yang dihasilkan oleh usahawan dari rumah (homepreneur) dengan sama-sama membabitkan penyertaan mereka ke dalam perniagaan tersebut.

“Kami percaya bahawa peningkatan jumlah usahawan dari rumah adalah trend jangka panjang yang akan terus meningkat dalam dekad ini. Sama ada ia berlaku secara pilihan atau ketentuan, lebih ramai pengusaha akan membuka perniagaan mereka dari rumah. Pemecahan digital (digital disruption) dan inovasi teknologi telah mempopularkan trend memesan makanan secara dalam talian dan penghantaran ke rumah.

BERITA BERKAITAN MEDAC sasar bantu lebih 192,000 usahawan terjejas akibat COVID-19

Aston Chua Yee Shen

“Dana yang dikumpulkan Hometaste akan digunakan syarikat untuk membina sistem dapur awam pelbagai jenama dipacu data melalui saluran berlandaskan teknologi, dengan sasaran untuk membuka 70 sistem dapur awan menjelang 2023 di Malaysia dan seterusnya berkembang ke rantau Asia Tenggara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hometaste, Aston Chua Yee Shen.

Katanya, peningkatan usaha untuk kemudahan, keselesaan dan kualiti perkhidmatan juga telah membantu kemunculan sistem dapur awan. 

“Dengan gaya hidup yang berubah dan situasi pandemik, pelanggan kini menuntut cara kehidupan yang lebih mudah yang mana mereka dapat membeli semua barangan keperluan dengan menggunakan satu sentuhan butang sahaja. Keadaan itu telah mendorong kepada pertumbuhan dan peningkatan kewujudan dapur maya,” katanya. 

Dikuasakan oleh pelbagai alat dan platform dalam  talian yang disediakan oleh Homestaste, usahawan rumah kini berjaya menjual barang dan perkhidmatan mereka dalam kerangka yang fleksibel dan beroperasi secara sendiri.

“Untuk memastikan pelanggan Hometaste mendapat kualiti makanan dan pengalaman yang lebih baik, analisis data, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan akan digunakan untuk mengoptimumkan jenama, masakan dan menu untuk setiap pasaran yang disasarkan. 

HOMETASTE membantu usahawan di rumah.

“Dengan lebih daripada 70 peratus program diautomatisasi pada masa ini, Hometaste merancang untuk menggunakan analisis data besar bagi meningkatkan aspek lain seperti anggaran bahan untuk mengurangkan sisa makanan dan meningkatkan pendapatan.

“Dengan keyakinan terhadap perniagaan masa depan, Hometaste meramalkan pendapatan mereka akan mampu mencatat melebihi RM10 juta pada 2022,” katanya.

Aston Chua juga mengucapkan terima kasih di atas kejayaan pengumpulan dana menggunakan platform pitchIN.

“Pasukan kami di Hometaste ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelabur atas sokongan mereka. Setinggi-tinggi penghargaan kami juga ditujukan kepada pasukan pitchIN atas khidmat nasihat dan bimbingan tidak terhingga mereka dalam memastikan syarikat baharu seperti syarikat kami berjaya mendapatkan dana yang diperlukan untuk pelan perancangan pengembangan syarikat, ” katanya.

Hometaste adalah sebahagian daripada Program Akselerator Global (GAP) MaGIC 5, yang menghubungkan mereka dengan mentor dalam membantu membina rangkaian melalui selama tiga bulan program dan berjaya memastikan Hometaste adalah syarikat yang sedia menerima pelaburan.

Mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai misi resipi masakan rumah, boleh mendapatkan maklumat lanjut di: https://hometaste.my/submit-a-recipe/

  • UTUSANTV