WALAUPUN masih dalam situasi pandemik, namun ia tidak membataskan penyanyi yang mahu dikenali sebagai Rudy Zil menghasilkan single baharu berjudul Jaga Dirimu.

Menurut Rudy atau nama sebenarnya Mohd Fadzil Madi, lagu tersebut merupakan hasil ciptaannya sendiri yang dilancarkan sejak Julai lalu.

“Selepas 10 tahun akhirnya Jaga Dirimu dapat disudahkan. Lagu itu mengisahkan tentang merelakan perpisahan dan memberi pesan tetap jaga diri dengan baik.

“Lagu tersebut saya mula cipta sejak 2011 namun liriknya baru siap pada tahun ini. Lagu ini diterbitkan oleh Benn’s Studio (Ben Simon Bukag) dan mengambil masa empat bulan untuk siap akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

‘’Susunan muzik dibuat agak lambat kerana faktor PKP. Setelah demo (guide) siap pada April 2021, saya mulakan latihan sendiri di rumah. Pada bulan Mei, proses ‘voicing’ berlangsung selama separuh hari dan proses ‘mastering’ lagu mengambil masa selama seminggu.

“Harapan saya agar lagu ini dapat diterima di semua telinga pendengar dan masyarkat,” katanya.

Rudy pernah meriliskan beberapa buah single pada 2014 dan telah mendaftarkan hakcipta lagu-lagu tersebut kepada syarikat Luncai Emas.

Ia menerusi program Bengkel Hakcipta, Bikin Lagu & Video Muzik anjuran Luncai Emas pada 2017 . Bengkel tersebut mendedahkan kepada orang awam dan penggiat seni utamanya tentang kesedaran dan kepentingan hakcipta dalam karya-karya mereka, perkongsian tips dan cara membuat lagu hits oleh Datuk M.Nasir serta pembikinan video muzik dengan menggunakan telefon bimbit.

Beberapa panel professional turut diundang bagi berkongsi pengalaman mereka dalam sesi bengkel berkenaan.

“Alhamdulillah , saya merupakan salah seorang peserta bengkel itu . Menerusi bengkel yang dianjurkan di Dewan JKKN Kota Kinabalu, Sabah ketika itu, saya berpeluang ketengahkan lagu-lagu ciptaan saya sebelum ini untuk ditadbir dan diuruskan secara digital oleh Luncai Emas.

“Ke semua lagu tersebut sudah pun didaftar di semua saluran digital dan saya juga telah menjadi komposer secara eksklusif di bawah Luncai Emas.

“Antara lagu-lagu yang telah didaftar dan berada di pasaran digital oleh Luncai Emas seperti Jahatnya Kamu , Dan Ku Sayang-Sayang , Lagu Perpisahan dan Macam Comel Jer .

‘’Berkat Luncai Emas lagu-lagu saya mula berkumandang di siaran digital yang membawa kepada pendengar-pendengar baru di Sabah mahupun seluruh Malaysia untuk menikmati karya-karya saya. Luncai Emas juga membuka mata saya tentang pentingnya hakcipta sesebuah karya itu harus dijaga,” ujar anak kelahiran Sabah itu lagi.

Selain menyanyi , Rudy aktif dalam penghasilan lagu untuk dirinya serta beberapa rakan artis tempatan Sabah lain seperti Nowhy Band, Erney E. Tugoe & Syamlie dan dia mengambil inspirasi oleh kumpulan Air Supply dalam setiap penghasilan lagu ciptaannya . Di Sabah, Rudy Zil bekerja secara sendiri bagi menyara hidup.

Rudy juga memaklumkan bahawa dia pernah membuat persembahan duet bersama Atmosfera dalam Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) dan menyifatkan momen itu seperti menyanyi di Anugerah Juara Lagu.