elakkan makan secara sendirian

Beberapa orang sahabat telah bertanya kepada Baginda s.a.w. tentang masalah yang dihadapi mereka berkaitan dengan makan tetapi tidak berasa kenyang. Lalu Baginda s.a.w. memerintahkan agar mereka makan dengan berkumpul dan jangan berselerak.

Kisah ini telah diriwayatkan oleh Wahsyi r.a. yang menyebutkan, sesungguhnya para sahabat berkata,

“Wahai Rasul! kami makan tetapi tidak kenyang.” Lalu Baginda s.a.w. berkata, “Mungkin kamu semua makan berselerak.” Mereka jawab, “Ya benar.” Kata Baginda lagi, “Oleh itu hendaklah kamu semua berkumpul semasa makan dan bacalah Basmallah semoga diberkati Allah.” HR Daud dan Tirmizi

Islam sangat menitik beratkan umatnya menjaga adab dan perilaku merangkumi semua aspek kehidupan. Salah satu perkara yang menjadi titik penting dan ditekankan dalam Islam adalah berkaitan soal makan, kerana makanan yang masuk ke dalam perut inilah yang akan menjadi darah daging.

Justeru itu, terdapat beberapa adab yang perlu dipatuhi terutama dalam soal menikmati hidangan, agar dapat memastikan umat Islam menjadi umat yang berkualiti dan terkehadapan dari umat yang lain.

Hal ini kerana Islam tidak menggalakkan umatnya untuk bertindak sesuka hati. Setiap perkara yang ditetapkan pastinya mempunyai hikmah sama ada disedari atau tidak.

Imam Ibnu Majah dan Imam Abu Daud dalam kitab sunan mereka iaitu kitab al-Ath’imah (bab makan) ada membincangkan berkaitan hadis di atas. Malah dalam kitab Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud pula menukilkan,maksud “mungkin kamu makan berselerak (sendiri-sendiri)” membawa konotasi, setiap orang di dalam isi rumah masing-masing makan secara bersendirian.

Makan secara beramai-ramai mendapat keberkatan dari Allah

Sedangkan Abu Ya’la dalam musnadnya, juga diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan al-Baihaqi daripada Jabir r.a. telah menyebutkan bahawa “makanan yang paling disukai Allah adalah yang banyak tangan padanya (makan beramai-ramai)”.

Dalam hadis yang lain riwayat Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Makanan dua orang, cukup untuk tiga orang, dan makanan tiga orang cukup untuk empat orang.” HR Bukhari & Muslim

Manakala Imam as-Siddiqi dalam karangannya Dalil al-Falihin, menyatakan pandangan Imam al-Tabrani bahawa hadis ini adalah menurut apa yang disabdakan Nabi s.a.w.

“Makanlah kamu secara berjemaah dan jangan makan sendiri-sendiri, makanan untuk seorang itu cukup untuk berdua”.

Dari keseluruhan hadis yang disebutkan di atas jelas menunjukkan bahawa Baginda s.a.w. menetapkan kepada para sahabat dan umatnya agar tidak makan secara berselerak. Ketetapan ini disebabkan kecukupan itu terbit daripada keberkatan berjemaah. Semakin berjemaah maka semakin mudah ia kenyang dan bertambahlah barakahnya

Malah dengan makan secara berjemaah pasti punyai kelebihan, terutama apabila sesuatu itu dilaksanakan secara berkumpulan walaupun hanya dalam persoalan makan.

Sememangnya dalam perkumpulan atau berjemaah, suatu yang sedikit akan sama-sama dirasai, yang banyak pula diagih sama banyaknya sebagaimana peribahasa Melayu, “hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah.”

Ia secara tidak langsung melatih individu untuk bersifat toleransi dan terbuka dengan sesiapa sahaja walaupun berbeza sifat, pemikiran atau warna kulit. Bahkan ia juga dapat mendidik seseorang untuk mempunyai sikap menghormati, bekerjasama dan mampu menyemai perasaan kasih sayang.

Amalkan makan bersama bagi membentuk rasa sakinah dalam kalangan ahli keluarga.

Apatah lagi apabila diamalkan dalam institusi keluarga. Sudah tentu hubungan sesama mereka lebih erat dan kukuh. Inilah keberkatan dari makan secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Tidak sempurna iman seseorang, sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya.”

Ketika makan bersama, apa sahaja yang baik, akan dikongsi bersama dan ia sama-sama merasai nikmat makanan. Bermula di tempat makan, dilazimkan segala semangat dan nilai kebaikan, ia mampu dipindahkan dalam kehidupan seharian.

Insya-Allah segala bentuk akhlak yang murni akan mampu bersemi dalam setiap diri manusia, dalam apa jua lapangan dan bidang kehidupan. Dan kerana itulah kita lihat keluarga yang makan bersama-sama, hubungan kekeluargaan mereka lebih erat dan ini secara langsung telah memupuk sikap saling sayang-menyayang sesama manusia. Wallahu a’lam.

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram