Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di PWTC, hari ini.

KEMELUT politik yang melanda Melaka ketika ini telah membuatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Ia sejajar dengan cadangan diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewaktu membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Ahmad Zahid semalam, mandat seeloknya diserahkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu bagi Melaka.

Namun begitu, dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad Zahid berkata panduan sebagaimana berlaku di Sarawak iaitu mengisytiharkan darurat supaya PRN tidak diadakan sewaktu pandemik ini mungkin boleh diikuti.

Kata beliau, keputusan untuk mengadakan PRN perlu diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Apa yang penting, katanya, penjagaan kesihatan rakyat dan mendepani masalah pandemik harus diberikan keutamaan ketika ini.

“Saya telah menasihatkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk mengutus surat rasmi kepada Pengerusi SPR memaklumkan persetujuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam bagi pembubaran DUN Melaka ini.

“Namun, saya mengharapkan agar SPR setelah menerima perutusan rasmi itu untuk mengadakan perbincangan dengan MKN dan juga KKM bagi menentukan perkara sebenar apakah PRN akan diadakan mengikut jeda waktu atau tempoh sebagaimana yang terdapat dalam Akta Pilihan Raya.

Baca artikel berkaitan: DUN Melaka bubar, beri laluan pilihan raya negeri – Speaker

“Untuk itu, PRN Melaka akan bergantung kepada keputusan SPR atas nasihat MKN dan KKM. Tentunya sehingga pilihan raya diumumkan, maka Ketua Menteri Melaka akan berfungsi dalam bentuk caretaker government.

“Jika mengikut KKM dan MKN amat bahaya untuk diadakan PRN dalam tempoh 60 hari sebagaimana ditentukan dalam Akta Pilihan Raya, maka tentulah panduan sebagaimana berlaku di Sarawak mungkin boleh diikuti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

DUN Melaka telah dibubarkan semalam bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Ab. Rauf berkata, Mohd. Ali telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Ab Rauf berkata, sepucuk surat telah dikemukakan kepada Mohd Ali yang memaklumkan empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan pada masa sama meminta perkenan untuk pembubaran DUN.

Ab Rauf turut menyerahkan proklamasi pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka Rudy Rohan Johan @ Ganesan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram