Sebuah pesawat Air India tersangkut di bawah jambatan dekat Delhi, India sehingga tular di media sosial.

VIDEO sebuah pesawat Air India tersangkut di bawah jambatan dekat Delhi, India tular di media sosial.

Pesawat lama yang dilaporkan sudah dijual itu sedang dipindahkan sebelum bahagian badannya tersangkut pada jambatan berkenaan berhampiran lapangan terbang IGI, Delhi.

Klip itu menunjukkan trafik bergerak memintas pesawat yang mana bahagian sayapnya telah dibuang dalam kejadian pada Ahad lalu.

Seorang wartawan yang memuatnaik video pesawat itu berkongsi kenyataan Air India yang menjelaskan syarikat terbabit tiada lagi kaitan dengan kapal terbang tersebut.

“Ini sebuah pesawat Air India yang tidak lagi digunakan dan telah dijual. Ia dipindahkan pada waktu malam oleh pemilik baharunya.

“Air India tiada kaitan langsung dengan dengan pesawat itu,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihak lapangan terbang Delhi memberitahu akhbar Times of India bahawa kapal terbang berkenaan bukan sebahagian daripada pesawat yang beroperasi di lapangan terbang berkenaan.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan mungkin telah melakukan kesilapan semasa membawanya.

Klip itu ditonton ribuan kali di Twitter dan YouTube dan kebanyakannya bertanya bagaimana pesawat tersebut boleh tersangkut.

Setelah video itu tular, ada pihak memuatnaik ciapan mendakwa pesawat berkenaan masih tersangkut di bawah jambatan tersebut selama beberapa hari.