DUN Melaka

ANALISIS

KADANG KALA UMNO memaparkan aksi politik yang melucukan. Itulah yang terjadi dalam kemelut politik Melaka sekarang.

Pada mulanya, apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka,Datuk Seri Sulaiman Md.Ali – UMNO beria-ia mahukan Pilihan Raya Negeri (PRN)

Malah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk ketika bercakap di Parlimen berkata, ‘’tidak mengapa kalau hilang kerajaan negeri  dikuasai parti saya. Tapi tunggulah… saya fikir elok diadakan pilihan raya negeri supaya DUN Melaka dibubarkan. Kita beri mandat semula kepada rakyat untuk pilih mana kerajaan terbaik mentadbir negeri dan negara kita, insha-Allah.’’

Kata-kata beliau menjadi kenyataan apabila Sulaiman mengusulkan perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN. Maka ia diperkenankan. Berikutan itu hebohlah satu negara.

Hanya kerana pertelingkahan dalaman UMNO, rakyat Melaka diseret untuk mengundi ketika mereka mahu memulakan kehidupan selepas pandemik Covid-19 apatah lagi negeri itu baru sahaja melangkah ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Reaksi rakyat Melaka amat negatif, mungkin disebabkan faktor itu secara tiba-tiba pemimpin UMNO termasuk Ahmad Zahid menarik ‘brek’, mula bercakap bagaimana kalau penangguhan PRN dilakukan seperti mana di Sarawak.

Dan lebih menarik beberapa pemimpin kanan parti itu termasuklah pemimpin berpengaruh mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak turut berpandangan PRN tidak patut diadakan. Mereka mula berbicara soal menyerahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menentukannya atau membuat penilaian.

Yang seronoknya pemimpin sayap parti pun turut bersuara, ‘’untuk elak pandemik’’..katanya.

Soalnya kenapa apabila empat ADUN tersebut termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan, UMNO Melaka termasuk kepemimpinan pusat tidak berbincang dahulu dengan MKN dan KKM? Kenapa terus sahaja meminta perkenan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN?

Adakah perubahan sikap atau pendirian itu berlaku selepas melihat reaksi rakyat Melaka yang mungkin akan menyebabkan UMNO kalah dalam PRN berkenaan? Kenapa sejak awal lagi tidak memberi peluang kepada Pakatan Harapan atau mana-mana gabungan membuktikan mereka mempunyai majoriti menubuhkan kerajaan? 

Bukankah Ahmad Zahid pun sudah berkata, ‘’..tidak mengapa hilang kerajaan negeri dikuasai parti saya’…jadi kenapa kelam kabut sangat nak buat PRN? Tetapi lihat sekarang apa sudah jadi? UMNO dilihat atau dianggap takut kalah dalam PRN yang mereka sendiri mahukan! Jangan salahkan PH apatah lagi Bersatu kerana yang mencetuskan konflik UMNO, yang dijatuhkan kerajaan UMNO, yang minta PRN UMNO dan yang tidak mahu PRN UMNO.

Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi pengajaran kepada UMNO khususnya kepemimpinan parti itu bahawa pepatah Melayu ada menyebut ‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’, dalam konteks UMNO, ‘’Kerana pulut santan binasa, kerana mulut parti jadi tak tentu hala.’’