SUATU masa dahulu, pernah kecoh tentang kisah bebola api misteri yang muncul di sekitar Kuala Lipis, Pahang. Ada yang masih ingat dengan kisah tersebut?

Di kalangan penduduk di sekitar Kuala Lipis ketika itu, berlegar cerita mengenai bebola api misteri yang sering muncul pada waktu malam. Dikatakan, ia sering kelihatan di beberapa lokasi yang dianggap ‘keras’ oleh penduduk tempatan.

Salah satunya di Empangan Jaleh, iaitu bekas tapak perlombongan emas yang terletak kira-kira 14 kilometer daripada pusat bandar Kuala Lipis. Lokasi itu dikatakan antara tempat kelibat bebola api itu sering kelihatan. Ramai kalangan kaki pancing yang sering ke sana mendakwa, mereka sering melihat bebola cahaya kekuningan seperti api melintasi kawasan tersebut.

Empangan Jaleh. Dikatakan pemancing sering melihat kemunculan bebola api di kawasan ini.

Dikatakan bebola api sebesar saiz bola sepak itu akan muncul beberapa saat di udara sebelum lenyap dalam kegelapan malam. Ia kelihatan seperti terapung-apung di udara dan bergerak melayang-layang ditiup angin sebelum hilang begitu sahaja.

Selain di Empangan Jaleh, objek yang sama juga dikatakan sering dilihat di kawasan sekitar Kuala Lanar dan Padang Tengku, yang juga terletak di dalam daerah Kuala Lipis.

Penduduk tempatan mengatakan kelibat cahaya api sering kelihatan di kawasan Sungai Jelai, yang merupakan sungai utama di kedua-dua lokasi tersebut. Bebola cahaya itu dikatakan selalu muncul di permukaan sungai berkenaan, terapung-apung dan kemudian lenyap secara perlahan-lahan.

Bebola api itu sering juga muncul di kawasan Sungai Jelai.

Bebola api itu tidak terbang tinggi, sebaliknya hanya ‘bermain-main’ di ruang udara yang rendah sahaja. Apa yang pelik, bebola api itu akan muncul di kawasan sekitarnya walaupun ketika hari hujan.

Bukan saja di kawasan sungai, tetapi ia juga sering kelihatan di hutan berhampiran. Ada yang mendakwa, bebola api itu muncul secara tiba-tiba dan bergerak ke atas seperti terwap di udara. Kadangkala, cahaya itu dilihat seperti ‘bertenggek’ di dahan-dahan pokok sebelum bergerak ke tempat lain dan hilang dengan sendirinya.

Penduduk tempatan yang sering melihat bebola cahaya itu menganggap perkara tersebut mempunyai kaitan dengan kuasa mistik dan makhluk halus.

Ramai mengatakan cahaya api tersebut dikatakan adalah spesies entiti seperti polong atau tuju-tuju yang sering ‘dilepaskan’ oleh tuannya untuk mengganggu ketenteraman penduduk. Sejauh mana kebenarannya, sukar untuk dipastikan.

Itu dari sudut mistik. Namun jika dilihat dari sudut saintifik pula, juga ada jawapan tersendiri.

Mungkinkah bebola api misteri di Kuala Lipis itu mempunyai persamaan dengan fenomena bola api naga Nong Khai seperti yang pernah berlaku di pinggir sungai Mekong, Thailand?

Adakah gas-gas yang terpendam di dasar tanah telah naik ke permukaan dan bertindak balas dengan udara sehingga membentuk bebola api?

Ada beberapa faktor dan teori boleh menjelaskan tentang fenomena ini jika dikaji dari sudut saintifik.

Boleh jadi bebola api itu muncul disebabkan sumber bahan bakar semulajadi seperti arang batu yang terdapat di dalam tanah. Bagaimanapun, sejarah menceritakan bahawa Kuala Lipis hanya kaya dengan sumber emas, bukan arang batu.

Faktor lain pula berkemungkinan akibat endapan gas metana yang terhasil daripada longgokan sampah yang terurai. Gas ini akan terkumpul di dasar sungai lalu meruap ke permukaan air. Selepas itu, ia akan terbakar apabila bercampur dengan gas oksigen dan kesan pembakaran itu mewujudkan bebola api yang bercahaya.

Sekiranya ia disebabkan oleh gas metana, bebola api itu hanya akan muncul di awangan antara lima hingga enam hari sahaja. Ia adalah disebabkan sumber gas tersebut yang agak terhad.

Walaupun begitu, tidak diketahui dengan jelas sama ada bebola api yang muncul di Kuala Lipis itu disebabkan oleh sumber gas, ataupun ia sebenarnya spesies ‘hantu’ seperti yang didakwa penduduk kampung.

Apakah ia masih muncul lagi pada hari ini? Orang Kuala Lipis mungkin boleh menjawab soalan tersebut.

___________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam